KENYATAAN yang dimuat naik Siti Saleha. FOTO Instagram/Siti Saleha
KENYATAAN yang dimuat naik Siti Saleha. FOTO Instagram/Siti Saleha
Rudy Imran Shamsudin


Kuala Lumpur: Pelakon popular, Siti Saleha Mohd Baharum mengakui dirinya telah dilamar tetapi menafikan sudah bertunang dengan lelaki pilihan hati.

Saleha memberikan penjelasan membabitkan kenyataan yang dibuat di Instagram miliknya malam tadi yang dimuat naik dengan penerangan: “Suicide Squad tonight with fiance (menonton filem Suicide Squad malam ini bersama tunang).”

Sebelum ini pelakon filem Mamak Cupcake itu juga turut memuat naik gambar bersama kekasihnya dengan penerangan: “I said yes (saya bersetuju)” di laman sosial sama, seperti mahu menyatakan dia sudah bersetuju dengan lamaran dibuat kekasihnya itu.

Kata Saleha sewaktu dihubungi di sini, hari ini, dia belum lagi melakukan majlis pertunangan.

"Saya tidak mahu peminat terkeliru dengan penerangan di Instagram itu. Memang saya sudah dilamar tapi kami belum lagi mengadakan majlis pertunangan," katanya.

Jelas Saleha lagi, majlis pertunangan antara dia dan kekasih hatinya itu akan dilakukan sebaik kata putus atas perbicangan antara dua keluarga selesai dibuat.

"Apabila majlis pertunangan itu berlangsung nanti selesai barulah saya berkongsi segalanya. Buat masa sekarang biarlah keluarga kami berbincang terlebih dulu," katanya.

Begitu juga dengan latar belakang siapakah kekasih hatinya. Tegas Saleha, selepas majlis pertunangan sedang dirancang selesai dilaksanakan, barulah dia bersedia untuk berkongsi.

Saleha kebelakangan ini agak terbuka apabila berkongsi dengan peminat mengenai kisah cinta dan teman lelakinya tetapi tidak latar belakang lelaki yang berjaya memenangi hatinya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 3:15 PM