Rudy Imran Shamsudin


PELAKON popular, Siti Saleha Baharum, 26, selamat bertunang dengan lelaki pilihan hatinya, Lufti Azhar, 30, di kediaman keluarganya di Klang, Selangor, hari ini.

Ketika dihubungi, Saleha menjelaskan selepas dilamar Lufti yang juga pegawai kerajaan, Aidilfitri lalu, dan kemudian mereka merancang mengadakan majlis pertunangan hari ini.

"Alhamdullilah, apa yang kami rancang berjalan lancar. Mengikut perbincangan, majlis pernikahan kami akan dilangsungkan pada awal tahun hadapan.

"Tambahan pula selepas setahun berkenalan dan dilamar Lufti, Julai lalu, kami memang tidak mahu bertunang lama-lama," katanya.

Bintang utama drama 7 Hari Mencintaiku itu juga menegaskan selepas setahun berkenalan, mereka sudah cukup mengenali hati budi masing-masing.

"Malah, keluarga kedua-dua pihak juga rapat selepas kami berkawan. Saya sendiri sangat rapat dengan ibu Lufti.

"Jadi, atas restu keluarga kedua-dua pihak juga menyebabkan segala perancangan dibuat menjadi lancar," katanya.

Bercerita lanjut mengenai majlis, kata Saleha, dia menyerahkan sepenuhnya kepada bapa dan keluarga bakal mentuanya untuk membuat perbincangan dan keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:40 PM