SALEHA bergandingan dengan Farid Kamil dalam Langit Cinta.
SALEHA bergandingan dengan Farid Kamil dalam Langit Cinta.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Impian pelakon Siti Saleha Mohd Baharum, 25, untuk melebarkan bakat di negara jiran Indonesia bakal terbuka luas apabila dilamar membintangi produksi filem seberang.

Ketika artikel ini disiarkan, Siti Saleha berada di Pulau Pinang dan akan terbang ke Jakarta bagi menjalani penggambaran filem Spy In Love selama tiga minggu.

Lebih membanggakan, walaupun beberapa pelakon dari negara seberang turut dibariskan membintangi Spy In Love, dia dipilih menjadi teraju utama berganding dengan hero yang sedang mencipta nama di Indonesia, Hamish Daud.

Katanya, peluang itu diperolehnya apabila seorang kenalan penerbit memperkenalkan bakatnya dengan produksi Fimtab Unik Sdn Bhd yang menerbitkan Spy In Love.

“Spy In Love usahasama produksi tempatan dan Indonesia. Mereka bergabung menjadi satu untuk menghasilkan filem itu.

“Sebelum ini memang saya pernah mengatakan dalam lima tahun akan datang antara impian saya adalah membintangi filem mahupun drama dari Indonesia dan Filipina. Nampaknya ia menjadi kenyataan,” katanya sewaktu ditemui di majlis pelancaran filem terbaru lakonannya, Langit Cinta yang ditayangkan 7 Januari depan.

Katanya, dia bersyukur dengan peluang diberikan, tambah pula Spy In Love dijadualkan ditayangkan di negara seberang apabila siap kelak.

Dia juga optimis apa yang dilakukannya ini dapat menjadi pembuka jalan kepadanya untuk meluaskan tapak di negara luar.

“Memang sebelum ini banyak filem usahasama yang dilakukan gagal mengenengahkan nama pelakon tempatan di sana. Penerimaan peminat filem di Indonesia terhadap filem usahasama juga dingin.

“Tapi sebagai pelakon, saya tidak terlalu memikirkan soal itu sebaliknya memandangnya dari sudut positif. Sekurang-kurangnya Spy In Love diharap dapat menjadi pembuka langkah untuk mengembangkan bakat saya di sana.

“Selagi kita tidak cuba, kita tidak akan tahu nasib kita. Mungkin pandangan itu datang dari filem yang terdahulu. Siapa tahu dengan filem Spy In Love penerimaan peminat dan penggiat filem di sana berbeza,” katanya.

Pada waktu sama, Saleha akui dia menerima tawaran membintangi filem usahasama ini kerana mahu menimba pengalaman.

Katanya, walaupun filem ini tidak diterima sekali pun apabila ditayangkan kelak, dia tetap gembira dan berpuas hati kerana dapat menimba pengalaman dengan produksi seberang.

“Antara sebab utama mengapa saya menerima tawaran ini, saya mahu melihat dan belajar cara produksi dan pelakonnya bekerja. Corak persembahan lakonan mereka juga pastinya tidak sama dengan apa yang ada di sini.

“Apabila bekerja dengan mereka, saya yakin boleh belajar banyak perkara. Disebabkan itu juga apabila tawaran diberikan saya tidak banyak bersoal jawab.

“Lagipun tugas saya berlakon, jadi mengapa saya harus memikirkan banyak perkara seperti filem itu diterima atau tidak. Biarlah perkara itu dilakukan pihak yang sepatutnya melakukannya,” katanya.

Senang bekerja dengan Osman Ali

Selain komitmen untuk Spy In Love, Saleha baru saja selesai menjalani penggambaran drama Uda dan Dara sebanyak 60 episod.

Saleha akui ini satu-satunya drama episod paling panjang yang pernah dibintangi. Dia gembira kerana banyak juga pengalaman yang dilalui.

“Walaupun penat kerana bekerja hampir setengah tahun tempoh lamanya, tetapi saya lega kerana dapat menjayakannya.

“Kalau hendak diikutkan, memang perancangan awalnya drama bersiri ini hendak dibuat 80 episod, tetapi pihak penyiar Astro memendekkan jumlah episod menjadi 60. Begitupun, cabaran kerjanya tidak banyak beza,” katanya.

Uda dan Dara mengisahkan pergolakan cinta antara Siti Mariam lakonan Saleha dan Izzat Hilman (Zul Ariffin). Ibu Izzat Hilman, Mak Cik Zainab mahu jodohkan Izzat Hilman dengan anak saudaranya, Khalidah.

Siti Mariam kecewa. Di tambah dengan penghinaan daripada orang yang paling disayanginya, Izzat Hilman. Walaupun itu cinta zaman kanak-kanak, Siti Mariam membawa sengsaranya hingga ke dewasa. Dirinya membenci lelaki yang bernama Izzat Hilman.

Di sebalik perasaan bencinya terhadap lelaki yang melukai hatinya perasaan sayang masih ada dalam dirinya. Apabila Izzat Hilman datang kembali dalam hidupnya Siti Mariam meletakkan syarat. Mereka boleh bersama tetapi bersedia untuk berpisah. Tempoh yang diberi hanya tujuh bulan.

Dalam filem Langit Cinta pula, Saleha gembira kerana menjadi karya pertama dia bekerja dengan pengarah prolifik, Osman Ali.

Katanya, walaupun kali pertama bekerja dengan Osman, dia senang bekerja dengannya.

“Sebagai pengarah berpengalaman dia banyak mendidik. Ada pengarah lebih senang melepaskan watak yang dijayakan kepada pelakon sepenuhnya.

“Bagaimanapun Osman banyak memberi panduan bagaimana saya hendak menjayakan watak Suzana, seorang doktor. Saya lebih suka begitu. Tambah pula Osman sangat teliti dengan karya yang dihasilkannya,” katanya.

Bagaimanapun jelas Saleha, pembabitannya dalam Langit Cinta tidak banyak dan dia hanya muncul pada awal dan pengakhiran cerita.

Selain Saleha, turut membintangi Langit Cinta ialah Keith Foo dan Fazura sebagai teraju utama serta Farid Kamil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:01 AM