Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Usianya baru 21 tahun, tetapi Humaira Khairunnisa Mohammad Hamdan sudah mampu menjana pendapatan sendiri dengan menjual kek dan manisan secara dalam talian dengan hanya menjadikan Internet sebagai sumber rujukan.

Gadis yang mesra disapa Humaira itu mula menceburi bidang kek dan pastri sejak berusia 16 tahun dan apa yang menarik, dia hanya belajar membuat makanan itu daripada Internet.

“Selepas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), saya mempunyai banyak masa terluang. Saya mengisi masa lapang dengan layari laman web untuk mencari resipi kek dan manisan yang mudah.

“Dari situ, saya mula belajar cara buat kek selain pernah membantu nenek membuat kek ‘butter’ dan ia adalah percubaan pertama saya,” katanya.

Anak perempuan tunggal daripada lima beradik itu berkata, selepas pandai membuat kek pada usia 16 tahun, dia membawa kek yang dihasilkan sebagai bekal ke sekolah.

“Ramai yang memuji dan meminta saya jual kek dan manisan. Selepas itu, setiap minggu masa terluang saya diisi dengan aktiviti membuat kek dan manisan,” katanya yang memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Kolej Islam Antarabangsa, di sini.

Menurutnya, dia pernah hampir putus asa apabila percubaan untuk membuat manisan dari Perancis iaitu Macaroon gagal.

“Hampir 10 kali saya mencuba, tetapi gagal. Kali ke-11 baru berjaya dengan menggunakan teknik yang betul.

“Saya hanya ‘cef’ amatur, belajar dari Internet termasuk YouTube,” katanya yan g kini mampu menghasilkan lebih 30 kek dan manisan.

Humaira berkata, dia memastikan bahan yang digunakan berkualiti dan menjualnya dengan harga berpatutan.

“Harga seperti tat, congo bar, kek, kek cawan, muffin, croissant dan sandwic bermula daripada RM4 hingga RM100,” katanya yang menjual makanan berkenaan di akaun Instagram Palettes and Butter.

Menurut Humaira, dia melakukan banyak percubaan sehingga berjaya dalam menghasilkan kek dan manisan.

“Kita mesti berani mencuba, olah makanan berkenaan ikut kehendak dan citarasa pelanggan supaya mereka puas hati. Makanan itu mampu membuatkan orang tersenyum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 9:15 AM
HUMAIRA menunjukkan pastri yang dihasilkannya.
HUMAIRA menunjukkan pastri yang dihasilkannya.