GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusliza Yakimir Abd Talib

SETIAP ibu bapa pasti pernah mengalami situasi betapa sukarnya memberi anak makan sajian berkhasiat tidak kurang juga berdepan perangai sesetengah anak yang begitu cerewet dalam memilih makanan yang dihidangkan kepada mereka.

Bukan itu saja, keengganan anak makan sayur atau buah selain kebergantungan terhadap makanan segera boleh menyebabkan kekurangan zat yang diperlukan untuk tumbesaran tubuh mereka.

Ibu bapa mana yang tidak risau melihat anak berterusan dengan tabiat makan seumpama ini sekali gus mencetuskan dilema buat mereka yang mahu anak membesar dengan sihat dan nutrisi mencukupi.

Lantas, ramai mengambil jalan pintas dengan memberikan pelbagai jenis makanan tambahan atau suplemen kerana berasakan anak mereka memerlukannya untuk memenuhi keperluan nutrisi bagi tubuh.

Pegawai Dietetik, Nur Hafizah Mahamad Sobri berkata, keperluan suplemen adalah mengikut kepada keadaan kesihatan setiap kanak-kanak. Ia berbeza antara individu.

Katanya, bagi kanak kanak yang sihat dan mempunyai selera makan, tiada masalah berat badan, mereka tidak memerlukan suplemen tambahan.

Ini kerana, katanya, semua makronutrien seperti karbohidrat, protein dan lemak serta mikronutrien seperti kalsium, zat besi dan lain lain, boleh didapati dengan secukupnya daripada makanan sihat yang semula jadi dan seimbang.

“Bagi kanak-kanak yang tidak sihat, misalnya ada masalah kesihatan seperti kanser, sistem pertahanan badan yang rendah, masalah sistem penghadaman dan sebagainya selain kurang selera makan, keperluan suplemen adalah sangat tinggi.

“Mereka memerlukan makronutrien dan mikronutrien yang lebih berbanding kanak-kanak biasa akibat masalah kesihatan yang meningkatkan penggunaan zat berkenaan.

“Selain itu, keperluan itu juga mungkin disebabkan ketidakbolehan badan mereka untuk menghadam zat tertentu akibat penyakit yang dialami,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa sangat digalakkan untuk mendapatkan nasihat daripada pegawai diet atau perubatan sebelum memberikan anak sebarang suplemen kerana bukan semua suplemen diperlukan oleh kanak-kanak berkenaan.

Ada suplemen yang memang diperlukan dan ada juga yang boleh membahayakan lagi kesihatan anak jika diambil. Bahkan pemakanan tambahan ini juga dirumus mengikut keperluan pemakanan kanak-kanak pada usia tertentu, di samping melihat keperluan kanak-kanak itu sendiri.

Setiap keperluan katanya, akan disesuaikan dengan keadaan semasa si anak. Sebagai contoh jika kanak-kanak yang mengalami anemia, adalah digalakkan mengambil supplemen zat besi bersama vitamin C.

Bagaimanapun, katanya, jika seseorang anak mengalami tumbuhan terbantut multivitamin adalah lebih sesuai. Jadi, ibu bapa dinasihatkan agar menerapkan amalan makan secara sihat ketika anak masih kecil apatah lagi pemakanan yang seimbang biasanya bermula dari rumah.

“Semua ibu bapa perlu sedar amalan pemakanan sihat yang mengandungi nutrien diperlukan bermula di rumah, iaitu ibu yang memasak makanan berkenaan dengan penuh kasih sayang.

“Tidak dinafikan, kini semakin banyak makanan tambahan di pasaran tetapi ibu bapa seharusnya pandai mengatur dan memilih mana yang baik untuk keperluan anak mereka.

“Ini kerana tidak semua kanak-kanak memerlukannya kerana anak yang sihat tidak perlu bergantung kepada makanan tambahan,” katanya.

PENGAMBILAN suplemen hanya diperlukan dengan keadaan tertentu. GAMBAR hiasan
PENGAMBILAN suplemen hanya diperlukan dengan keadaan tertentu. GAMBAR hiasan

PERKARA PERLU DIPERTIMBANGKAN

Ketika membeli suplemen di pasaran ibu bapa perlu mengambil kira beberapa kriteria penting sebelum membelinya. Antaranya:

1. Keperluan anak

Bukan semua suplemen diperlukan oleh anak. Ibu bapa perlu membeli suplemen yang diperlukan sahaja. Jika mengambil suplemen yang tidak diperlukan ia hanya membazir kerana pengambilan zat yang berlebihan akan dikeluarkan oleh badan anak melalui najis dan tidak akan diserap dalam badan.

2. Kandungan suplemen

Selepas mengambil kira keperluan mereka, ibu bapa digalakkan mengambil suplemen yang mengandungi sejenis zat sahaja. Contohnya seperti vitamin C sahaja atau suplemen zat besi saja.

Ini kerana gabungan pelbagai jenis zat akan menyebabkan zat tertentu tidak diserap secara optimum ke dalam badan. Contohnya jika zat besi digabung dengan kalsium, penyerapan zat besi akan terbantut akibat berlawanan dengan kalsium.

3. Keberkesanan suplemen

Pelbagai jenis suplemen dijual di pasaran, namun adakah suplemen berkenaan betul-betul berkesan dalam membantu pertumbuhan anak anda?

Untuk menentukan keberkesanan, di kotak atau pakej akan dinyatakan jika syarikat yang sudah menjalankan kajian keberkesanannya.

Jika tiada, ibu bapa perlu utamakan suplemen yang dijual oleh syarikat yang berdaftar, mempunyai pensijilan seperti sijil amalan pembuatan baik (GMP), Analisis Bahaya Titik Kawal Kritikal (HACCP), sijil piawaian antarabangsa ISO dan bagi umat Islam, sijil halal.

4. Kesesuaian suplemen mengikut usia anak

Terdapat pelbagai jenis suplemen yang mengandungi dos zat yang berbeza. Pastikan sewaktu membeli dos itu sesuai dengan usia anak. Jangan beli yang lebih atau kurang dos sebab ia akan memberi kesan kepada keberkesanan suplemen itu.

5. Tempat membeli suplemen

Ibu bapa digalakkan untuk membeli suplemen dari farmasi yang berdaftar, bukan dari ejen jualan langsung atau penjual yang datang ke rumah.

Untuk suplemen berkenaan memasuki farmasi ia perlu melepasi kriteria tertentu. Jika terdapat apa-apa kesan sampingan boleh membuat laporan tetapi jika dari tempat yang tidak berdaftar, sukar untuk mendapat maklum balas.

Suplemen tidak diperlukan jika anak mendapat zat menyeluruh daripada makanan yang sihat dan seimbang. Ibu bapa perlu berusaha untuk menyediakan dan menggalakkan anak mengambil makanan yang sihat dan seimbang.

TIP DAPAT ZAT MENCUKUPI

Antara tip yang boleh diamalkan oleh ibu bapa memastikan anak mendapat zat mencukupi adalah:

1. Pastikan dalam setiap hidangan makan berat (sarapan pagi , makan tengahari, makan malam)

terdapat

• Sumber karbohidrat (contoh nasi, mi, mihun, kuetiau, roti, capati, tosei dan lain-lain)

• Sumber protein (ayam, ikan, daging, makanan laut atau telur)

• Sumber serat (gabungan sayur-sayuran dan buah-buahan)

Kebanyakan ibu bapa menganggap jika anak tidak makan nasi maka mereka tidak cukup zat. Anggapan ini tidak tepat kerana sumber karbohidrat boleh dipelbagaikan seperti contoh di atas. Namun yang paling penting, ibu bapa perlu memastikan setiap kali makan ada gabungan tiga sumber zat makronutrien yang utama.

Contoh menu lain yang masih mempunyai gabungan tiga makronutrien seperti masakan makaroni dan keju (ada ayam dan brokoli), spageti Bolognese (campuran lobak merah, kacang pis dan daging), mi goreng dan pelbagai hidangan lain lagi. Ibu bapa boleh menjadi lebih kreatif ketika penyediaan makanan dan bagaimana mahu menggabungkan ketiga-tiga makronutrien.

2. Wajib mengambil tiga makan utama, jangan tinggalkan atau elak makanan waktu itu. Kajian yang dilaksanakan pada 2007 hingga 2008 menunjukkan seorang dalam tiga murid sekolah rendah tidak bersarapan sebelum ke sekolah.

Ini akan memberi kesan kepada proses pembelajaran pelajar dan meningkatkan kemungkinan untuk memakan makanan yang tidak sihat sewaktu rehat.

3. Selain itu, ibu bapa juga boleh mencipta dan mencuba resipi yang menarik untuk meningkatkan minat anak mengambil makanan yang sihat. Contohnnya naget dibuat sendiri, ais krim sihat (susu dan buah) dan sandwic berbentuk kartun.

Lebih menarik jika ibu bapa turut babitkan anak ketika proses membuat makanan sebagai aktiviti menyeronokkan yang secara tidak langsung menggalakkan mereka menikmati makanan yang dimasak sendiri itu. Pelbagai resipi menarik boleh didapati di laman web seperti di www.nutriweb.com dan www.nasihatdiet.com untuk ibu bapa mencubanya di rumah bersama anak.

BABITKAN anak ketika proses memasak sebagai aktiviti menyeronokkan. GAMBAR hiasan
BABITKAN anak ketika proses memasak sebagai aktiviti menyeronokkan. GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 12:05 PM