NUR Aliah gigih mengembangkan perniagaan melukis inai.
NUR Aliah gigih mengembangkan perniagaan melukis inai.

Meminati lukisan sejak kecil, akhirnya Nur Aliah Ruslan, 30, menyalurkan kreativitinya kepada seni melukis inai pada tangan pengantin sejak usianya 13 tahun dan kini mengusahakan perniagaan dalam bidang itu.

Pemilik Lea Henna itu yang turut memaparkan hasil lukisan inai yang menarik di ruang Instagram/leahenna_artist, mengakui minat menonton filem Bollywood antara tarikan utama yang membuatkannya memilih untuk melukis inai.

Seorang yang peramah dan mudah mesra, ikuti temu bual sambil mengenali Nur Aliah yang juga ibu kepada seorang anak perempuan, Puteri Nurzara Sophea Mohd Yus, 4, dengan lebih rapat.

Soalan (S): Sejak bila anda berminat dalam bidang melukis inai?

Jawapan (J): Semuanya bermula sekitar usia saya 13 tahun. Ketika itu saya melukis inai dalam kalangan keluarga saja sebelum lebih serius bermula usia 18 tahun apabila permintaan kian meningkat.

Minat melukis inai ini terbit kerana saya memang suka melukis, apatah lagi keluarga seperti ayah dan abang saya juga suka melukis.

Pada masa sama, saya minat menonton filem Bollywood terutama babak perkahwinan yang memaparkan tangan mereka dilukis cantik dengan inai.

Secara tidak langsung, saya sangat tertarik dan menerbitkan minat seni melukis inai pada tangan. Pelanggan pertama saya ialah kakak saya sendiri ketika dia melangsungkan majlis perkahwinan. Selain melukis inai, saya juga bermula sebagai mak andam dan menyolek pengantin.

S: Dari mana ilham melukis inai ini?

J: Saya banyak melukis inai berpandukan idea sendiri, malah ada ratusan gaya inai yang boleh dipilih pelanggan tetapi berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya sudah tahu rekaan mana yang diinginkan pelanggan.

Selalunya pelanggan sukakan rekaan bunga-bungaan dan ketika ini gaya yang paling banyak permintaan ialah abstrak atau Hindustan. Sebenarnya lukisan inai pun ada gaya terkini dan saya ikut saja apa yang pelanggan mahu atau kami bincang bersama kesesuaiannya.

S: Bagaimana anda menguruskan perniagaan?

J: Dalam sehari saya boleh dapat enam pelanggan dan saya memilih laluan sehala supaya mudah untuk menyinggah ke setiap rumah, sekali gus menjimatkan masa.

Bergantung kepada motifnya, inai yang dilukis pada setiap pelanggan boleh mengambil masa antara satu hingga satu setengah jam seorang. Namun disebabkan permintaan terlalu ramai, saya hanya mengambil pelanggan yang sudah membuat tempahan sebulan lebih awal.

S: Bagaimana anda melayan kerenah pelanggan?

J: Selama menjalankan perniagaan ini, memang terlalu ramai pelanggan dengan pelbagai kerenah. Bermacam karakter namun kelebihannya, saya dapat mengenali ramai orang daripada pelbagai bidang berbeza. Malah saya juga memiliki pelanggan terdiri daripada artis terkenal dan golongan VIP.

Ada kalanya memang rasa tertekan jika bertemu dengan pelanggan yang agak cerewet tetapi ia perkara biasa dalam perniagaan.

S: Adakah anda menguruskan perniagaan seorang diri?

J: Saya banyak dibantu suami, Mohd Yus Roshidi, 28, yang juga penyokong kuat untuk saya maju dalam perniagaan. Pada masa sama, saya memiliki lima pembantu yang bergerak sendiri menemui pelanggan masing-masing.

Jika saya tidak boleh ke sesuatu lokasi, pembantu akan ke sana dan saya uruskan pelanggan lain pula. Kelebihan pembantu saya, mereka dilatih sehingga mampu melukis inai sama seperti saya.

Jadi pelanggan pun tidak cuak kalau bukan saya yang melukis sendiri inai kerana pembantu juga mempunyai skil yang sama.

Saya bersyukur kerana setakat ini tidak ada pelanggan yang marah atau tidak puas hati dengan lukisan inai yang dibuat pada mereka.

S: Bagaimana anda menguruskan masa antara keluarga dan kerjaya?

J: Saya pastikan ada masa terluang untuk dihabiskan bersama keluarga dan kami suka pergi bercuti bersama-sama. Apatah lagi apabila sudah ada pembantu, ia meringankan sedikit bebanan kerja yang sebelum ini diuruskan sendirian.

S: Apakah yang diharapkan anda selepas ini?

J: Saya mempunyai impian membuka galeri dalam tempoh tiga tahun dari sekarang supaya pelanggan boleh datang sendiri ke premis saya untuk mendapatkan khidmat melukis inai.

Ia secara tidak langsung menjimatkan masa saya dan pembantu bergerak bertemu pelanggan justeru, lebih ramai yang dapat khidmat kami.

Ketika ini, saya terpaksa bergerak jauh sehingga ke Melaka, Johor dan Pulau Pinang untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Selain itu, saya juga ingin mengembangkan perniagaan dengan memperkenalkan produk sendiri untuk melukis inai. – Faizatul Farlin Farush Khan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 6:14 AM