MANIS dipandang antara kelebihan Nurul Asyikim.
MANIS dipandang antara kelebihan Nurul Asyikim.

Wajahnya manis dipandang dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir ini tidak asing lagi terutama di dada akhbar atau majalah sambil memperagakan busana Muslimah daripada pelbagai jenama fesyen ternama tempatan.

Memiliki pakej lengkap seorang model fesyen, pemilik nama, Nurul Asyikim Zakaria, 26, atau lebih mesra dengan panggilan Ekim mengakui segalanya bermula atas dasar minat selepas dia memenangi tempat ketiga pencarian penghias muka depan sebuah majalah tempatan, empat tahun lalu.

Nurul Asyikim berkata, peluang terbuka itu membuatkan dia tidak menoleh ke belakang dan terus menggilap bakat yang ada bagi memastikan dirinya memenuhi pakej lengkap seorang model.

“Walaupun kerjaya ini dilihat seperti mudah, hakikatnya tidak semudah disangka kerana setiap kerjaya itu memerlukan kegigihan dan usaha tanpa jemu bagi memastikan bidang dipilih tidak terhenti separuh jalan.

“Masa, disiplin dan tenaga antara elemen yang perlu diberikan perhatian untuk bergelar seorang model berjaya kerana disiplin dan pembahagian masa memainkan peranan penting dalam sesuatu kejayaan,” katanya.

Graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan Universiti Putra Malaysia (UPM) ini turut mengakui bidang peragaan yang diceburinya itu juga memerlukan sifat positif pada diri selain tidak sombong.

“Jangan sesekali sombong dan paling penting, sentiasalah merendah diri dalam apa juga perkara terutama apabila berkomunikasi bagi memastikan orang lain berasa selesa.

“Rasa selesa itu amat penting supaya proses ketika bekerja itu akan berjalan dengan lancar dan memudahkan semua pihak,” ujarnya.

Ikuti suka duka gadis manis ini dalam mengharungi rutin hariannya bergelar seorang model fesyen tempatan:

S (Soalan): Bagaimana permulaan anda bergelar seorang model fesyen?

J (Jawapan): Peluang datang secara tiba-tiba selepas memenangi tempat ketiga pertandingan pencarian penghias muka depan sebuah majalah tempatan dan bermula dari situ, saya mula menggilap bakat peragaan yang ada ditambah pula ini sememangnya minat saya.

S: Adakah ini kerjaya utama anda?

J: Tidak, saya turut bertugas di dalam bidang pemasaran dan penjenamaan sebuah butik fesyen tempatan di samping menjadi model pakaian Muslimah.

S: Apakah antara cabaran yang anda tempuhi dalam bidang ini?

J: Cabaran yang ditempuhi pada hakikatnya terlalu banyak terutama dari segi masa dan tenaga. Untuk berjaya dalam bidang ini, pembahagian masa perlu dilakukan sebaik-baiknya bagi memastikan kerja yang dilakukan sentiasa tepat pada masa dan tidak menyusahkan orang lain.

Dari segi tenaga sememangnya agak penat selepas seharian beraksi di hadapan kamera namun saya pastikan mendapat tidur yang cukup sebaik pulang ke rumah.

S: Apakah ciri yang perlu ada dalam diri seorang model fesyen?

J: Disiplin diri adalah ciri utama yang perlu ada kerana ketepatan masa mempengaruhi segalanya. Persepsi orang terhadap diri kita juga diukur dari segi ketepatan masa selain sifat tidak sombong.

Seorang model fesyen juga perlu menyayangi kerjayanya dan jangan berkecimpung dalam bidang ini untuk mencari pendapatan semata-mata. Hakikatnya bidang ini adalah tempat untuk membina kredibiliti diri kerana berpeluang bertemu dengan pelbagai ragam manusia.

S: Bagaimana cara untuk mengekalkan nama anda dalam bidang ini?

J: Cara untuk mengekalkan nama dan reputasi dalam bidang ini adalah dengan menjadi diri sendiri. Jangan cuba berubah ke arah negatif semata-mata untuk meraih nama atau populariti. Selain itu, teruskan menjaga hubungan yang baik dengan semua orang terutama dengan individu yang pernah bekerjasama. Saya sentiasa memegang prinsip ‘jangan kejar kuantiti tetapi pegang kualiti’.

S: Apakah matlamat anda dalam bidang peragaan fesyen ini?

J: Saya memasang impian untuk membantu usahawan menaikkan atau meningkatkan jualan melalui perkhidmatan peragaan yang saya lakukan. Disebabkan itu, saya sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap tugasan bagi mendapatkan hasil yang diharapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 6:09 AM