Hishammuddin di sisi satu daripada helikopter yang diterima TUDM. FOTO Norizuan Shamsuddin
Hishammuddin di sisi satu daripada helikopter yang diterima TUDM. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


Alor Star: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima lima pesawat Pilatus PC-7 MK II dan tiga helikopter EC 120B Colibri bagi kegunaan melatih juruterbang di Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas, di sini, hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perolehan lima pesawat baru itu adalah bagi menggantikan Pilatus PC-7 Turbo Trainer yang akan ditamatkan perkhidmatannya.

Katanya, pesawat baru terbabit adalah bagi tujuan latihan penerbangan asas di Pusat Latihan Terbang 1 (PULATIBANG 1), KTU Kepala Batas.

"Pesawat ini diterima daripada Pilatus Aircraft, Switzerland. Perolehan pesawat ini dilakukan dalam dua siri iaitu sebanyak dua pesawat diterima pada siri pertama pada 3 Jun lalu dan selebihnya pada siri dua pada 19 Julai lalu.

"Ini menjadikan keseluruhannya lima pesawat PC-7 MK II menjadi tambahan kepada aset sedia ada dalam inventori TUDM.

"Helikopter EC 120B pula adalah bagi menggantikan pesawat Alout III yang tamat tempoh perkhidmatannya pada bulan Mac lalu," katanya pada sidang media majlis pelancaran Pilatus PC-7 MK II dan Helikopter EC 120B, di KTU Kepala Batas, di sini, hari ini.

Turut dihadir oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Affendi Raja Mohamed Noor dan Penglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Roslan Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 7:03 PM