ROSLAN (dua kiri) memeriksa perbarisan ketika Majlis Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan. FOTO Sharul Hafiz Zam
ROSLAN (dua kiri) memeriksa perbarisan ketika Majlis Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan. FOTO Sharul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tambah lima pesawat Pilatus PC-7 Mark II dan dua helikopter Eurocopter EC120B yang akan diterima Ogos ini.

Panglima Tentera Udara, Tan Sri Roslan Saad berkata, setakat ini pihaknya memiliki 16 pesawat Pilatus PC-7 Mark II yang dibeli pada 2000 dan penambahan lima lagi pesawat itu dapat digunakan untuk latihan pelatih juruterbang.

Katanya, pembelian pesawat itu bertujuan untuk menggantikan 32 pesawat Pilatus PC-7 Mark I yang berusia lebih 30 tahun yang dibeli TUDM sejak 1983.

"Pesawat lama itu akan dilupuskan secara berperingkat.

"Kita harap dengan adanya pesawat baru ini yang menggunakan teknologi lebih canggih mampu untuk melahirkan lebih ramai juruterbang pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 77, Kursus Asas Peralihan Helikopter Siri 56 dan Kursus Kuartermaster Udara Pesawat Nuri Siri 28 di Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, di sini, hari ini.

Roslan berkata, TUDM juga akan menyewa dua lagi helikopter Eurocopter EC120B milik syarikat persendirian yang akan dibayar mengikut jumlah penerbangan dilakukan pelatih di KTU.

"Setakat ini kita sudah memiliki tiga helikopter jenis itu dengan penyelenggaraan dan logistik ditanggung sepenuhnya oleh syarikat terbabit.

"Ia akan menguntungkan pihak TUDM kerana kita tidak perlu memikirkan berkaitan penyelenggaraan helikopter dan hanya menumpukan kepada latihan simulator dan penerbangan sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 12:37 PM