Peminat bersabar menunggu di luar pawagam di Kuala Lumpur bagi menonton tayangan tengah malam filem ‘Kabali'. - Foto Fail
Peminat bersabar menunggu di luar pawagam di Kuala Lumpur bagi menonton tayangan tengah malam filem ‘Kabali'. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Selangor: Filem 'Kabali' dibintangi pelakon handalan filem Tamil, Rajinikanth, hanya sekadar filem fiksyen yang perlu dilihat sebagai hiburan semata-mata dan sebarang kontroversi cuba dicetuskan tidak seharusnya berlaku, kata Anggota Majlis Tertinggi MIC Datuk P Kamalanathan.

Kamalanathan yang menyaksikan tayangan perdana filem itu malam Khamis lalu, berkata beliau tidak bersetuju dengan dakwaan kedudukan bangsa India diperlekeh menerusi skrip para pelakon filem itu, yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi di Malaysia.

"Ini filem fiksyen dan hanya diambil sebagai cerita. Kebenarannya, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif menambah baik masyarakat India dan agenda memartabatkan serta memperkasa pembangunan masyarakat India akan diteruskan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Pertandingan Tendangan Penalti anjuran Persatuan Sinergi Malaysia (SINERGI) di sebuah padang bola sepak di

Bestari Jaya, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar berbahasa Melayu hari ini, yang antara lain melaporkan dialog Rajinikanth dalam filem itu mengecewakan apabila mendakwa bangsa India di negara ini ditindas kaum-kaum lain.

Kamalanathan yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, masyarakat India perlu sedar kerajaan Barisan Nasional membuat yang terbaik untuk masyarakat itu termasuk membina sekolah baru bagi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 6:33 PM