KLON Rajinikanth menggegarkan promosi filem Kabali di Pulau Pinang, baru-baru ini.
KLON Rajinikanth menggegarkan promosi filem Kabali di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Rudy Syareme Sheriffudin


Walaupun tanpa kehadiran superstar filem Tamil, Rajinikanth, kemunculan ‘klonnya’ ketika siri jelajah promosi filem terbaru pelakon itu, Kabali di pusat beli-belah Queensbay Mall dan Padang Kota Lama, Pulau Pinang, baru-baru ini tetap mendapat sambutan hebat.

Klon Rajinikanth yang dikenali sebagai Rakni Suresh tampil dengan gaya saling tak tumpah dengan bintang filem hebat itu.

Gaya, cara berjalan dan pakaiannya memang seiras dengan Rajinikanth dan kehadirannya memukau lebih 2,000 peminat pelakon itu di dua lokasi terbabit.

Malah, mereka turut tidak melepaskan kesempatan bergambar dengannya.

Difahamkan, Rajinikanth tidak dapat hadir ke majlis terbabit kerana sedang menjalani penggambaran filem di Amerika Syarikat.

Filem arahan pengarah terkenal India, PA Ranjith itu akan ditayangkan di negara ini mulai 15 Julai depan. Selain versi Tamil, ia juga bakal ditayangkan dalam versi bahasa Melayu mulai 22 Julai.

Kabali turut dibintangi pelakon tempatan seperti Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan dan Tony Kassim. Ia turut membabitkan lebih 800 pelakon tambahan rakyat Malaysia ketika ia menjalani penggambaran di sini beberapa bulan lalu.

Pengurus Malik Streams Production yang mempromosikan filem itu di sini, T Veerasegar berkata, selain kaum India, Rajinikanth turut mempunyai ramai peminat dalam kalangan orang Melayu dan Cina di sini.

“Lebih 80 peratus penggambaran filem ini dilakukan di Malaysia, manakala selebihnya di India dan Thailand. Untuk tayangan di sini, kami menyasarkan kutipan RM50 juta,”katanya.

Selepas Pulau Pinang dan Alor Setar, siri jelajah promosi filem ini diteruskan di Dataran Pahlawan, Menara Taming Sari, Melaka, hari ini; Terminal One, Seremban (esok); Setia City Mall, Shah Alam (24 Jun); Ipoh (25 Jun) dan Dataran Sogo, Kuala Lumpur (3 Julai).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:07 AM