Datuk Rosyam Nor ketika prebiu filem ‘Kabali' di Pawagam Federal, Kuala Lumpur. - Foto Fail
Datuk Rosyam Nor ketika prebiu filem ‘Kabali' di Pawagam Federal, Kuala Lumpur. - Foto Fail
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: “Apabila saya dikritik, ertinya orang sayangkan bakat saya dan mereka tahu tahap kemampuan saya dalam lakonan,” kata Datuk Rosyam Nor, 49, mengenai penerbit drama, Mohd Noor Kadir, mengkritik pembabitannya dalam filem ‘Kabali’ lakonan bintang filem Tamil, Rajinikanth, sekadar watak kecil dan tidak seperti digembar-gemburkan.

Rosyam ketika dihubungi berkata, dia mengakui wataknya dalam filem itu kecil namun disebabkan publisiti meluas, ramai menganggap watak yang dibawakannya watak utama.

“Saya tak salahkan mana-mana pihak, terutama peminat yang kecewa apabila menonton filem itu. Saya juga tidak berkecil hati dengan Mohd Noor kerana dia ada hak untuk mengkritik,” katanya.

Mohd Noor dalam status di Facebook semalam, mengatakan penonton tempatan pasti kecewa apabila menonton ‘Kabali’ kerana gabungan Rosyam dan pelakon tempatan lain seperti Norman Hakim dan Zack Taipan dengan Rajinikanth tidaklah seperti digembar-gemburkan.

Menurutnya, Rosyam hanya sekadar pelakon ‘extra’ atau tambahan dan hanya sesekali mengeluarkan dialog ‘yes’ dan ‘no’.

Mohd Noor turut mendakwa pelakon tempatan lain cuma menjadi props atau pasu bunga bernyawa, malah beliau menyarankan Rosyam lebih berhati-hati jika menerima tawaran berlakon daripada syarikat produksi luar negara selepas ini.

Rosyam berkata, dia menganggap pembabitannya dalam filem ‘Kabali’ sebagai pengalaman bekerja dengan produksi luar negara.

“Pada usia 49 tahun sekarang, inilah kali pertama saya dapat peluang begini. Setiap perkara bermula dengan kecil sebelum menjadi besar. Begitu juga kerjaya saya.

“Saya hanya dikenali di Malaysia. Jadi, walaupun watak kecil dalam ‘Kabali’, saya terima kerana ingin mencuba. Kalau dibandingkan saya dengan Rajinikanth, bagaikan langit dengan bumi.

“Saya bersyukur kerana berpeluang berlakon bersamanya dan bersama-sama menjayakan babak pergaduhan dengannya,” katanya.

Menurut Rosyam, pembabitannya dalam filem itu turut memberi peluang kepadanya berlakon dalam satu lagi filem Tamil terbitan syarikat produksi di India.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 10:24 PM