Agensi

Chennai: Ribuan peminat di sini, beratus sejak 4 pagi semalam, bagi mendapatkan tiket tayangan pembukaan filem ‘Kabali’ dibintangi bintang terkenal India, Rajinikanth, manakala syarikat swasta mengisytiharkan cuti, ibu bapa pula membenarkan anak mereka ponteng sekolah bagi membolehkan pekerja dan anak mereka menonton filem itu.

Ribuan peminat hampir merusuh apabila tiket untuk tayangan hari ini habis kerana ditempah secara borong oleh syarikat korporat untuk pekerja mereka.

Harga tiket ‘Kabali’ yang menampilkan Rajinikanth sebagai gangster di pasar gelap mencecah sehingga 5,000 rupee ($75), harga yang amat mahal bagi penduduk India.

Hari ini, ratusan ribu peminat Rajinikanth memenuhi pawagam di seluruh wilayah berbahasa Tamil di India itu untuk menonton tayangan sebelum subuh dan ada penonton melompat dari tempat duduk dan menari dalam panggung.

Di Chennai, ibu negeri Tamil Nadu, peminat Rajinikanth membakar mercun dan mengagihkan gula-gula di luar pawagam manakala dalam pawagam Woodlands, antara tertua di Chennai, peminat bangun, menari dan menyanyi sebaik superstar itu muncul kali pertama dalam filem berkenaan.

Apabila Rajinikanth menumbuk penjahat dalam filem sepanjang dua jam itu, penonton bersorak. Poster dan patung besar pelakon itu menghiasi jalan raya di luar pawagam.

Di beberapa tempat, peminat mencurahkan susu pada patung Rajinikanth, amalan penganut Hindu, untuk merestui dan mengucapkan selamat panjang umur kepadanya.

Pelakon berusia 65 tahun itu antara bintang paling popular di India, diminati jutaan peminat berbahasa Tamil serta yang tidak memahami bahasa itu.

Filem itu yang turut dibintangi pelakon Malaysia - Rosyam Nor, Norman Hakim dan Zack Taipan serta aktor Taiwan Winston Chao, menjalani penggambaran di Malaysia dan selatan India.

Ia ditayangkan di lebih 12,000 pawagam di seluruh India dan Malaysia serta Britain selain 400 panggung di Amerika Syarikat. Ia juga mempunyai ramai peminat di Jepun.

“Saya menanti filem ini sejak dua tahun lalu,” kata orang kakitangan syarikat insurans di Chennai, Alandur P Sridhar, yang datang bersama-sama 30 rakannya berpakaian kemeja-T dengan gambar Rajinikanth.

Rajinikanth yang nama sebenarnya Shivaji Rao Gaekwad bekerja sebagai konduktor bas di Bangalore selama tiga tahun sebelum menyertai sekolah lakonan di Chennai dan sehingga kini sudah berlakon lebih 150 filem yang kebanyakannya box-office.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 10:08 PM
Anggota polis terpaksa dikerah untuk mengawal peminat ketika mereka memasuki pawagam di Chennai, selatan India. - Foto AP
Anggota polis terpaksa dikerah untuk mengawal peminat ketika mereka memasuki pawagam di Chennai, selatan India. - Foto AP
Peminat bintang filem Tamil, Rajinikanth, berpusu-pusu keluar panggung selepas menonton tayangan hari pertama ‘Kabali’ di  Bangalore, hari ini. - Foto EPA
Peminat bintang filem Tamil, Rajinikanth, berpusu-pusu keluar panggung selepas menonton tayangan hari pertama ‘Kabali’ di Bangalore, hari ini. - Foto EPA