Rosyam tampil bersama beberapa pelakon tempatan dalam filem itu. FOTO NSTP/twitter.com
Rosyam tampil bersama beberapa pelakon tempatan dalam filem itu. FOTO NSTP/twitter.com
Oleh Michelle Gun


Kuala Lumpur: Belum ditayangkan di pawagam, video promosi filem Tamil, Kabali lakonan bintang hebat Rajinikanth sudah mencecah lebih lapan juta tontonan selepas tiga hari dimuatnaik di laman sosial YouTube.

Menariknya, video berdurasi satu minit enam saat itu turut memaparkan pemandangan ibu kota dan Batu Caves.

Kabali mengangkat kisah benar kumpulan penjenayah di India turut menampilkan pelakon popular tanah air Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim dan Zack Taipan.

Sambutan hangat pengguna sosial media terhadap video promosi Kabali tidak mengejutkan Rosyam, 48, berikutan populariti Rajinikanth di negara ini.

"Video promosi itu antara strategi awal pihak produksi untuk meuar-uarkan filem berkenaan.

"Malah, tidak ada sekeping gambar dimuat naik produksi di internet. Jadi tidak hairan video promosi itu mendapat jumlah tontonan tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Rosyam berharap dapat menarik lebih ramai peminat baru terhadapnya khusus dalam kalangan kaum India di negara ini.

"Saya beruntung kerana dapat berlakon dalam Kabali yang mendapat liputan luas di seluruh dunia.

"Pengalaman bekerja dengan produksi luar berbeza dan banyak ilmu saya perolehi," katanya.

Berkongsi pengalaman bergandingan dengan Rajinikanth, Rosyam berkata pelakon itu mudah didekati dan bersikap rendah diri.

Kabali menjadi filem ke-159 Rajinikanth dan dijangka menemui peminat di negara ini pada Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 8:16 PM