SHARUDIN (duduk dua dari kiri) bersama artis yang terbabit dalam karnival.
SHARUDIN (duduk dua dari kiri) bersama artis yang terbabit dalam karnival.
Ridzuan Abdul Rahman


Sering kali artis ‘senior’ atau veteran ‘bergelut’ mencari rezeki di gelanggang seni tanah air berikutan watak terhad.

Berbeza pula bintang generasi muda apabila menjadi buruan penerbit untuk menjayakan pelbagai drama dan filem.

Justeru, ada artis veteran yang terpaksa mencuba nasib dalam bidang lain seperti berniaga makanan, pakaian dan macam-macam lagi sumber sampingan.

Melihat kesungguhan mereka, syarikat pengurusan acara Fzn Gemilang dengan kerjasama FELDA dan sebahagian penggiat seni tempatan berganding bahu menganjurkan program Karnival Keluarga FELDA Bersama Artis.

Karnival ini akan diadakan selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Julai ini di Dewan Bestari, Sekolah Menengah Kebangsaan Jelai 2, Gemas, Negeri Sembilan dari jam 9 pagi hingga 12 malam.

Penganjur, Sharudin Rahim berkata, Fzn Gemilang sudah 10 tahun menganjurkan karnival, tetapi kali ini memilih bekerjasama dengan artis pula.

“Hampir 50 artis terbabit antaranya Harun Hashim, Mak Mah, Norlia Ghani dan Rozie Othman untuk projek sulung ini dan FELDA Jelai dipilih sebagai lokasi kerana bilangan penghuninya yang ramai.

“Kami menaja sepenuhnya kemudahan pengangkutan dan penginapan untuk semua artis yang terbabit, manakala keuntungan yang diraih menerusi jualan adalah milik mereka sepenuhnya.

“Selain berniaga, artis yang terbabit dengan persembahan pula ialah Nash, kumpulan Meditasi, Ibnor Riza, Sheqal dan Maisarah,” katanya.

Menurutnya, penganjur memperuntukkan 18 gerai untuk artis berniaga manakala selebihnya disewakan kepada peniaga lain dengan harga RM1500 untuk tiga hari.

“Jika sebelum ini tanpa artis pun, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Kali ini kami menyasarkan kehadiran 15,000 pengunjung untuk keseluruhan program.

“Bukan sahaja acara jualan dan hiburan, kami turut menganjurkan pelbagai aktiviti lain seperti Pertandingan Azan peringkat sekolah, Senaman 1Malaysia, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Memasak dan pelbagai lagi.

“Menerusi promosi yang giat dilakukan menerusi pelbagai saluran, kami percaya artis yang terbabit nanti akan memperoleh keuntungan menerusi jualan,” katanya.

Pelakon, Rahim Jailani yang mewakili artis pula berkata, pembabitan mereka dalam karnival ini dibuat atas inisiatif sendiri dan bukan mewakili mana-mana persatuan.

“Saya nak tengok rakan artis meningkatkan ekonomi mereka serta ada aktiviti yang dibuat. Mungkin selepas ini saya nak berbincang dengan mana-mana badan seperti Koperasi Seniman bagaimana cara nak bantu mereka.

“Selain itu, saya juga mahu merujuk Tekun Nasional untuk mendapatkan modal bagi membantu artis berniaga,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini penyertaan dibuka hanya untuk artis veteran dan dibuka kepada artis muda pada masa hadapan.

“Itu sebabnya saya tak guna mana-mana persatuan kerana mahu semua pihak bersatu. Apa yang penting adalah bagaimana cara membantu rakan-rakan artis menambah pendapatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 10:03 AM