PELAWAK, Shahriman Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Abon (kanan) berniaga 'Roti Sarang Lebah Abon' bersama anaknya Nuratul Shakirah di Pasar Tani Taman Melawati. FOTO Mustafa Kamal
PELAWAK, Shahriman Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Abon (kanan) berniaga 'Roti Sarang Lebah Abon' bersama anaknya Nuratul Shakirah di Pasar Tani Taman Melawati. FOTO Mustafa Kamal
Ridzuan Abdul Rahman


PELAWAK popular era 80-an, Abon menasihatkan semua pelawak agar sedar diri, ruang dan tempat ketika berlawak agar tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Abon atau nama sebenarnya Sharizan Ahmad, 60, berkata, seseorang pelawak perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling serta memahami maksud perkataan itu sendiri.

"Kita sentiasa kena ada sikap begini. Perkataan lawak itu apabila diterbalikkan menjadi kawal. Bermakna, kita kawal kandungan lawak kita.

"Kita kena sedar kita berlawak di mana. Kalau tujuannya itu (menyentuh hal politik), kenalah berani ambil risiko. Kalau tak, lebih baik jangan buat.

"Saya sendiri memang dah nekad dan tekad untuk berhenti terus daripada pertandingan sebegini. Tapi kalau di luar saya masih laris diundang menjayakan persembahan untuk majlis makan malam," katanya yang ditemui pada program Pasar Tani Bersama Artis anjuran Koperasi Seni Warisan Berhad di Pasar Tani Taman Melawati, hari ini.

Abon yang turut membuka gerai jualan di situ berkata, rezekinya sekarang banyak membabitkan program lain berbanding muncul di kaca TV.

"Saya senang begini. Tapi kalau nak masuk program berbentuk pertandingan atau program yang menjadi tontonan ramai dan disiarkan di kaca TV, baik jangan ikut cara saya.

"Biarlah kita ikut arus. Bagi saya, kalau takut bermain ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kalau tengok pada pemerintahan, mana-mana kerajaan tak benarkan mereka dikutuk.

"Kita banyak lagi cerita lain kenapa sentuh mengenai politik. Jika terdapat individu yang tak berkenan atau tak setuju dengan pemerintah, cari platform yang sesuai," katanya.

Abon mengakui, dirinya sendiri juga kurang berkenan dengan cara kerajaan, namun dia memilih melontarkan di platform yang betul.

"Saya sebagai artis tak setuju dan tak nampak apa yang kerajaan buat, saya pergi Kimanis, Sabah dan luahkan perasaan.

"Saya bukan hentam individu. Saya meluahkan perasaan artis sekarang tiada bantuan. Dalam bajet belanjawan pun kita nampak kurang menyebelahi artis," katanya.

Menurutnya, luahan itu sebagai mewakili suara golongan artis veteran yang memerlukan perhatian.

"Kami ada 85 artis bawah Yayasan Artis Veteran Malaysia. Tiada dana yang bantu untuk kami tampung kehidupan.

"Jadi kami kena berusaha cari makan sendiri. Untuk saya sendiri, mujurlah seorang usahawan beri saya dana dan beri kopi untuk dijual.

"Tak payah nak bising. Siapa yang sanggup turun padang okaylah. Tapi kalau tak sanggup dan nak cari makan di TV, janganlah hentam kerajaan. Cara dan tempatnya memang tak kena," katanya.

Abon berkata, kerajaan sebenarnya tidak meletakkan sekatan kepada pelawak, tetapi pokok pangkalnya individu terbabit perlu bijak dalam memberi hiburan.

"Mereka tak letakkan sekatan tapi seperti saya kata tadi kita kena terbalikkan perkataan lawak kepada kawal.

"Saya ada prinsip menghormati pemerintah. Walaupun tak semestinya menyokong, saya takkan berkempen tanpa sebab.

"Pemerintah dipilih oleh rakyat dan dilantik oleh Yang Dipertuan Agung. Jadi kita kena hormat perkara ini. Kalau nak mengkritik atau tak suka, tunggulah PRU 15 nanti," katanya.

Menurut Abon, sokongan yang diperlihatkan olehnya kepada mana-mana parti politik adalah di tempat yang betul.

"Kalau sekarang saya berniaga pakai baju parti pilihan saya, orang pasti kata sudah-sudahlah berkempen.

"Saya juga tak pacak bendera parti pilihan saya di gerai kerana belum masanya lagi untuk kempen.

"Dalam urusan kerja, saya akan terima undangan mana-mana parti kerana nama saya Abon bermaksud asal bayar on," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 5:17 PM