Oleh Nor Akmar Samudin

Berikutan keadaan industri seni tanah air yang berada di ambang kesuraman kerana ada stesen TV yang tidak menawarkan projek baru kepada syarikat produksi, ramai artis tiada tawaran berlakon.

Lantaran itu mereka perlu berikhtiar cara lain untuk meneruskan kelangsungan hidup seharian.

Maka tertubuhlah Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) pada 15 September lalu yang kini menghimpunkan 45 artis di bawahnya.

Presidennya, Anne Abdullah berkata, GTAS bergerak aktif menyertai karnival yang menyediakan peluang perniagaan kepada artis.

"Syarat untuk menjadi ahli GTAS mereka mesti memiliki produk sendiri dan bukannya menjadi duta atau jurucakap produk. Mereka adalah usahawan selebriti yang mahu serius berniaga.

"GTAS kini mula mendapat perhatian daripada pe­nganjur karnival kerana sebagai artis, kami dengan mudah dapat menarik peminat datang ke karnival itu, sekali gus dapat mempromosikan tapak karnival,"katanya.

Anne berkata, pihaknya turut meletakkan syarat di mana penganjur yang mahu GTAS menyertai karnival mereka perlu menyediakan sekurang-kurangnya 10 gerai percuma.

"Setiap gerai itu boleh dikongsi dua artis. Jika karnival itu diadakan selama seminggu, 45 artis itu akan bergilir-gilir berniaga di gerai berkenaan. GTAS mahu semua ahlinya turun padang berniaga," katanya.

Anne berkata, setiap artis yang mahu berniaga di situ mesti berada di gerai masing-masing dan tidak boleh mengupah orang lain untuk menjaga barang jualan mereka.

"Disebabkan itulah, saya memilih artis yang serius mahu berniaga untuk menjadi ahli GTAS," katanya.

Setiap artis yang mendaftar dengan GTAS dikenakan yuran RM50 setahun.

Selain Anne sebagai Presiden, pelakon Riezman Khuzaimi dipilih sebagai Timbalan Presiden, Ainina Ahmad B (Setiausaha), Lina Cherry (Penolong Setiausaha), dan Liz Ismail (Bendahari).

Artis lain yang turut menjadi ahli GTAS ialah Norshila Amin, Hanie Hamid, Ilias Iskandar, Ernie Sulastri, Jasmin Hamid, Arash Mohd, Nadia Kesuma, Liza Othman, Laila Nasir, Dilla Ahmad, Yang Kassim, Afiq Muiz, Rina Tan, Kalam, Farisha Irwayu, Sharifah Shahora, Normah Damanhuri, Zur Eda dan Kuna.

Menurut Anne, sejak ditubuhkan GTAS sudah mengadakan beberapa siri karnival dan yang akan datang GTAS diadakan di The Strand, Kota Damansara, Rasta (Taman Tun Dr Ismail) dan Setia City Mall, Setia Alam.

"Jadual GTAS penuh sehingga hujung November. Ada juga peniaga luar yang mahu mengikut kami berniaga, tetapi mereka kena membayar harga gerai.

"GTAS bukan saja membuka peluang perniagaan kepada artis, malah kami menghantar mereka mengikuti kursus yang selaras dengan produk mereka usahakan dan juga menyediakan pinjaman kewangan.

"Setakat ini, GTAS sendiri tidak dapat menjana sumber pendapatan daripada karnival untuk mengumpul dana gagasan. Kami bercadang menganjurkan karnival sendiri seperti Jom Heboh dengan menjual gerai kepada orang ramai. Tahun depan kami mengadakan siri jelajah satu Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:02 AM