TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Kota Bharu. FOTO Fathil Asri
TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Kota Bharu. FOTO Fathil Asri
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Guru lelaki dipenjara dua tahun di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menggunakan aplikasi Internet untuk menghantar gambar berunsur lucah dan palsu membabitkan beberapa pemimpin negara dan memiliki filem lucah, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nik Adid Nik Mat, 43, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa menggunakan aplikasi Internet untuk membuat dan menghantar gambar bertajuk 'Pesta Bogel' berunsur lucah di Facebook dengan niat menyakiti hati orang lain di Jalan Maahad Saniah, Pasir Puteh pada 9 malam, 8 Ogos 2014.

Kesalahan didakwa mengikut Subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa memiliki filem lucah di lokasi sama pada 4.45 pagi, 21 Ogos 2014.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2014 yang dihukum seksyen 5(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaan Kelantan Idham Abd Ghani manakala tertuduh diwakili peguam Siti Syaerah Meor.

Mahkamah bagaimanapun menangguhan pelaksaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dengan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 12:37 PM