Mazrin  di Mahkamah Sesyen 1, Mahkamah Jalan Duta, semalam.
Mazrin di Mahkamah Sesyen 1, Mahkamah Jalan Duta, semalam.
Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Seorang penganggur dipenjara lima tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan menipu wang tunai RM30,000 milik tiga individu berhubung pembelian rumah yang diiklankan dalam laman web mudah.my, tahun lalu.

Hakim Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan terhadap Mazrin Abd Aziz, 39, selepas lelaki itu didapati bersalah menipu wang RM15,000 milik seorang guru, Nur Zaiti Ikmal Dzainuddin berhubung penjualan rumah di No 23 Jalan Mutiara 4/4 Taman Selayang Mutiara, Batu Caves, dekat sini yang bukan miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Ipoh, dekat sini pada jam 2.30 petang, 27 Mac 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata tanpa disokong saksi dan dokumen.

Sementara itu, tertuduh dihukum penjara tiga tahun dan dua sebatan selepas mengaku salah terhadap satu lagi pertuduhan iaitu menipu suami isteri, Muhamad Nazri Ahmad Saghir, 33, dan Fatimah Abdullah, 34, berhubung penjualan rumah yang sama sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM15,000 sebagai bayaran deposit.

Kesalahan itu dilakukan di bangunan Ambank Jalan Yap Kwan Seng, dekat sini pada jam 4 petang, 30 Mac 2014.

Berdasarkan fakta kes, Muhamad Nazri yang bertugas sebagai penjaga stor di syarikat elektrikal dan isterinya, jururawat berurusan dengan tertuduh melalui laman web berkenaan untuk membeli rumah itu.

Tertuduh kemudian mendorong pasangan itu menyerahkan wang RM69,060 secara berperingkat melalui serahan tunai dan transaksi akaun, namun setelah menyerahkan wang itu, pasangan berkenaan masih belum mendapat rumah berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya S Malini Anne mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Norsharidah berkata, kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dengan menggunakan modus operandi yang sama.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya atas alasan dia perlu menyara keluarga.

Mahkamah memerintahkan hukuman terhadap tertuduh berjalan berasingan dan berkuat kuasa dari tarikh tangkap, 20 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 8:17 AM