Kota Bharu: Seorang pembantu kedai runcit warga Pakistan menempuh detik mencemaskan apabila diacu parang dan pisau di leher oleh lima lelaki yang menyamun kedai itu di Kemumin, Pengkalan Chepa, semalam.

Bagaimanapun, mangsa berusia 30 tahun yang bersendirian di kedai runcit 24 jam terbabit tidak cedera, dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, semua suspek bertopeng melarikan sejumlah wang tunai dan rokok dianggar bernilai RM4,000.

Katanya, turut menyertai kejadian itu samun itu seorang wanita yang menunggu di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diletakkan di luar kedai.

“Ketika kejadian, mangsa bersendirian di dalam kedai, sebelum lima suspek lelaki menghampiri dan mengarahkan dia mengeluarkan sejumlah wang dalam laci kaunter, sambil mengacukan parang dan pisau di leher.

“Mangsa ketakutan kemudian menurut arahan suspek yang turut melarikan telefon bimbit dan 12 bungkus rokok.

“Bagaimanapun, ketika suspek mahu beredar, mangsa sempat menendang seorang daripada mereka dan menarik beg silang dipakai menyebabkan talinya putus dan barang bertaburan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, suspek kemudian mengambil semula barang yang jatuh dan melarikan diri bersama rakan lain ke kereta di luar kedai.

Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati suspek memakai topeng kain berwarna hitam, menggunakan tiga parang dan dua pisau kecil ketika menyamun mangsa, malah kenderaan digunakan turut bernombor pendaftaran palsu.

Katanya, kedai yang beroperasi 24 jam sejak bulan lalu itu tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

“Ketika mangsa memeriksa barang yang hilang, dia menemui satu kad pengenalan dipercayai milik salah seorang suspek dan diserahkan kepada polis.

“Usaha memburu suspek dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 5:01 AM