RITA bersama anak-anak.
RITA bersama anak-anak.
RITA melayan kehadiran Awal Ashaari dan Scha.
RITA melayan kehadiran Awal Ashaari dan Scha.
RITA turut merasmikan Rumah Kueh.
RITA turut merasmikan Rumah Kueh.
PEMINAT beratur untuk bergambar dengan Nana.
PEMINAT beratur untuk bergambar dengan Nana.
NANA bersama sebahagian tetamu yang hadir.
NANA bersama sebahagian tetamu yang hadir.
Sudirman Mohd Tahir


Kemeriahan sambutan Aidilfitri masih dirasai apabila hujung minggu dipilih menjadi waktu sesuai menganjurkan majlis rumah terbuka.

Tidak terkecuali dua selebriti popular, Rita Rudaini dan Siti Nordiana.

Bagi Rita, 40, majlis rumah terbuka yang diadakan dianggap cukup istimewa kerana turut merasmikan pembukaan restoran miliknya, Rumah Kueh di Kota Damansara.

“Walaupun ia sudah beroperasi sebulan lalu, saya belum membuat pembukaan secara rasmi. Bukan apa sepanjang Ramadan lalu restoran sibuk dengan tempahan majlis berbuka puasa. Jadi saya tak ada masa.

“Justeru, saya memilih hari raya sebagai waktu sesuai. Bukan saja datang beraya, malah dapat menjadi sebahagian daripada kenangan buat saya sempena pembukaan restoran ini. Pendek kata majlis diadakan dua dalam satu,” katanya.

Menurut Rita, majlis itu rumah terbuka ketiga anjurannya selepas di Perlis dan lokasi sama baru-baru ini.

“Rumah terbuka pertama saya diadakan di kampung halaman pada hari raya keempat lalu. Kemudian kelab peminat saya bersama Izreen Azminda pula bergabung menganjurkan majlis sama di sini.

“Boleh dikatakan Aidilfitri tahun ini sangat bermakna. Saya bersyukur kerana masih dikelilingi banyak pihak yang menyayangi saya. Malah tidak jemu memberi sokongan terhadap saya dalam apa jua keadaan,” katanya.

Pada majlis itu, lebih 1,000 tetamu yang hadir membabitkan keluarga, sahabat, rakan artis dan pihak media.

Majlis yang diadakan secara sederhana itu tetap berlangsung dalam suasana meriah.

Berkongsi mengenai Rumah Kueh, Rita berkata, restoran miliknya itu menyajikan lebih 18 jenis kuih tradisional dan masakan Melayu.

“Insya-Allah selepas ini saya merancang menambah jenis kuih. Bukan apa, di kawasan ini memang sukar nak mencari juadah sedemikian terutama masakan Melayu. Ada antara menu disediakan menggunakan resipi saya sendiri.

“Kalau ada rezeki lebih, saya merancang membuka cawangan lain. Cuma bukan dalam masa terdekat. Saya mahu mengukuhkan dahulu perniagaan ini,” katanya.

Sementara itu, rumah terbuka Siti Nordiana yang diadakan di Dewan Serbaguna Felda Sendayan, Seremban ibarat majlis perkahwinan.

Kehadiran lebih 5,000 tetamu dianggap mengejutkan sepanjang penyanyi lagu Memori Berkasih ini mengadakan rumah terbuka.

“Memang setiap tahun saya mengadakan rumah terbuka di rumah. Jemputan pula membabitkan keluarga dan penduduk kampung sekitar 500 tetamu. Tahun ini saya sudah memasang niat mengadakannya di dewan sekali gus dengan majlis kesyukuran sempena kemenangan saya pada program Gegar Vaganza.

“Saya menjangkakan tetamu yang hadir sekitar 2,000, tetapi ia di luar jangkaan. Sejujurnya saya terkejut dan tak menyangka dengan sambutan diberikan. Saya difahamkan tetamu mula datang seawal jam 10 pagi,” katanya.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berkata, situasi itu tidak menghalang untuknya beramah mesra dengan semua tetamu.

Apatah lagi ada peminat yang sanggup datang dari Kedah dan Johor menaiki bas semata-mata untuk berjumpa dengannya.

“Saya anggap ini semua rezeki. Berapa banyak yang hadir pun saya tetap memberi layanan kepada mereka. Saya cuba untuk memuaskan hati semua pihak. Lagipun mereka datang semata-mata untuk berjumpa saya, jadi apa salahnya masa yang ada saya luangkan bersama mereka.

“Saya tidak menguar-uarkan majlis ini kerana ia diuruskan sepenuhnya oleh ahli jawatankuasa kelab peminat saya. Namun sambutan di luar jangkaan. Dari segi makanan, semuanya cukup. Malah ada yang sudi memberi penajaan,” katanya.

Melihatkan sambutan diberikan, Nana diusik yang situasi itu setaraf dengan Datuk Siti Nurhaliza.

“Saya belum layak untuk disamakan dengan Kak Siti. Malah jauh lagi untuk ke arah itu. Tak dinafikan dia adalah idola dan sumber inspirasi untuk saya berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 10:33 AM