Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kejohanan Remaja Asia membawakan dua bingkisan berbeza, apabila pemain perseorangan wanita sensasi negara, Goh Jin Wei (gambar) terkandas di suku akhir namun beregu lelaki, Ooi Zi Heng-Soh Wooi Yik berjaya ke separuh akhir.

Jin Wei yang diletakkan pilihan kedua tunduk kepada Kim Ga Eun dari Korea Selatan, 13-21, 21-17, 13-21, seterusnya memadamkan impian untuk sekurang-kurangnya mara ke final.

Dia yang diletakkan pilihan kedua kejohanan ternyata gagal menyerap tekanan seterusnya gagal mengulangi pencapaian tahun lalu apabila mara sehingga ke separuh akhir.

Menurut Pengurus Pembangunan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kwan Yoke Meng, Jin Wei berada dalam keadaan tertekan selepas diletakkan pilihan kedua dan juga bergelar juara remaja dunia.

“Seperti saya cakap sebelum ini, dia (Jin Wei) perlu mengatasi tekanan, kerana semua pemain memberi fokus kepadanya. Berbeza tahun lalu dia menumpaskan pemain pilihan dan sekarang perkara itu sudah terbalik,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, Ga Eun memberikan aksi terbaik manakala Jin Wei, banyak melakukan pukulan ke garisan belakang sehingga membolehkan lawan melakukan smash serta pukulan pendek.

Bagaimanapun, kegagalan Jin Wei ditebus Zi Heng-Wooi Yik yang mengalahkan Lee Sang Min-Na Sung Seung 17-21, 21-14, 21-19 untuk mara ke separuh akhir.

Mereka akan bertemu pilihan ketiga dari China, Han Chengkai-Zhou Haodong yang sebelum itu mengalahkan Kyohei Yamashita-Naoki Yamazawa (Jepun) 21-14, 24-22.

Sementara itu, perseorangan lelaki, Lee Zii Jia tumpas kepada Lee Chia Hao dari Taiwan, 22-20, 11-21, 15-21, manakala beregu campuran, Chen Tang Jie-Pearly Koong kalah 17-21, 16-21 kepada wakil Korea Selatan, Kim Won Ho-Lee Yu Rim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:13 AM