NUR Saffiya Irdina (tengah) menjaga ibunya, Roliza ketika hayatnya. Gambar fail NSTP.
NUR Saffiya Irdina (tengah) menjaga ibunya, Roliza ketika hayatnya. Gambar fail NSTP.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pesakit kanser payu dara tahap empat, Roliza Md Zain akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.

Kisah penderitaan Roliza, 32, pernah disiarkan akhbar ini pada 28 November 2022 apabila dia dijaga anak sulungnya, Nur Saffiya Irdina, 10, selepas terlantar sakit sejak dua tahun lalu.

Menurut kakak arwah, Rohani Md Zain, 45, berkata, adik bongsunya itu meninggal dunia pada 7.25 mala di rumahnya di Tawar, Baling.

"Dah tak boleh buat apa dah walaupun dia sudah menjalani rawatan namun kansernya sudah merebak.

"Sejak beberapa hari lalu, arwah banyak mendiamkan diri dan tidak berselera makan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, jenazah Roliza akan dibawa ke kampung mereka di Bukit Hijau, malam ini untuk dikebumikan.

Rohani juga memberitahu dia akan menjaga empat anak arwah yang kini yatim piatu, selagi terdaya.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah dan berharap mereka tabah dalam melalui ujian ini.

Laporan sebelum ini melaporkan Nur Saffiya Irdina menguruskan ibunya dengan menukar lampin pakai buang serta memberi makan seawal 4 pagi sebelum ke sekolah.

Dia kehilangan bapa, Mohd Firdaus Marzuki yang meninggal dunia akibat penyakit jantung dan paru-paru berair dua tahun lalu tinggal bersama ibu saudaranya di Kampung Charuk Purun, Tawar, Kuala Ketil, Baling bersama tiga adik yang berusia dua tahun hingga lapan tahun.

Kisah Roliza sebelum ini turut mendapat perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Datuk Zakaria Othman serta beberapa pempengaruh termasuk Ebit Liew dan Cik Puan Gojes yang tampil menyampai bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 9:40 PM