JIKA tidak tahu cara untuk membantu, cukuplah sekadar menunjukkan keprihatinan supaya mereka rasa dihargai serta disayangi.
JIKA tidak tahu cara untuk membantu, cukuplah sekadar menunjukkan keprihatinan supaya mereka rasa dihargai serta disayangi.
Siti Nadirah Hafidzin

Tetamu datang bersilih ganti, juadah dihidang tidak henti ditambah bermula pagi hingga malam tatkala Syawal ini.

Sememangnya hati berasa seronok tatkala saudara-mara, jiran terdekat dan sahabat tersayang berkunjung ke rumah namun hakikat yang tidak dapat disangkal ialah kepenatan!

Setiap wanita pastinya mendambakan tugas itu dapat dibantu suami tercinta walaupun sekadar mencuci pinggan mangkuk atau mengisi semua juadah yang siap dimasak di tempat bersesuaian.

Hakikatnya, tanggungjawab menyediakan makan dan menyiapkan perihal rumah tangga sebenarnya tugas eksklusif suami namun dek rasa kasih dan sayang, isteri sanggup melakukan segalanya walaupun dalam keadaan kepenatan.

Ini bukanlah suatu isu baru malah setiap wanita terutama yang sama-sama keluar bekerja bagi membantu ekonomi keluarga mengharapkan suami sudi menghulur tangan sekurang-kurangnya dalam satu atau dua ‘kerja’ di rumah terutama ketika Syawal ini.

Pakar motivasi Dr HM Tuah Iskandar berkata, rata-rata wanita menunjukkan mereka mengharapkan suami turut membantu dalam melaksanakan tugas di rumah termasuk menjaga anak.

Menurutnya, tugas di rumah perlu dilakukan bersama-sama demi mengecapi kebahagiaan sebenar dan tanpa ada rasa dendam mahupun keterpaksaan dalam hati.

“Suami idaman ialah suami yang dapat menenangkan isterinya dan memahami apa yang tersurat mahupun tersirat di sudut hati isteri.

“Disebabkan itu, jalan terbaik bagi lelaki ialah membantu isteri di mana patut, jangan goyang kaki apabila balik ke rumah dan mengharapkan isteri menyediakan semuanya kerana isteri juga bekerja terutama ketika suasana kini,” ujarnya.

Antara tugas yang boleh dilakukan suami untuk membantu isteri dalam berdepan tetamu yang berkunjung ke rumah sempena Aidilfitri ini:

• Lakukan perbincangan mengenai tugas yang akan dibahagikan

• Sediakan barangan basah atau barangan dapur mencukupi supaya ia memudahkan isteri untuk menyediakan makanan

• Jangan tunggu sehingga si isteri merungut atau menyuruh, rajinkan diri untuk sama-sama berada di dapur menyediakan semua keperluan apabila mengetahui ada tetamu yang akan datang

• Sekiranya tidak mahir memasak, bantu perkara berkaitan seperti membasuh pinggan mangkuk atau menjaga anak-anak supaya si isteri tidak diganggu ketika berada di dapur

• Jika nampak isteri dalam keadaan penat atau tertekan, carilah cara untuk menggembirakannya atau mengurangkan tekanan

• Jangan sesekali menambah kepenatan dialami mereka dengan mengarahkan melakukan tugas lain ketika si isteri sibuk menyediakan juadah untuk tetamu

• Jika tidak tahu cara untuk membantu, cukuplah sekadar menunjukkan keprihatinan supaya mereka rasa dihargai serta disayangi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 12:21 PM