Agensi

Texas: Sekurang-kurangnya sembilan terbunuh, manakala tujuh mangsa lagi cedera dalam kejadian tembakan rambang di pusat beli-belah dekat Dallas, menurut Pihak Berkuasa Allen pada Sabtu.

CNN melaporkan, lelaki bersenjata yang dipercayai pihak berkuasa bertindak bersendirian ketika melakukan jenayah itu juga sudah mati ditembak oleh Polis Allen.

Menurut sumber, ada usaha mencari seorang lagi lelaki bersenjata yang terbabit dalam melakukan pembunuhan itu, tetapi polis polis dalam kenyataannya percaya penembak itu bertindak bersendirian.

Rakaman udara di tempat kejadian menunjukkan beratus-ratus pengunjung keluar dari pusat beli-belah itu sambil mengangkat tangan dengan sekurang-kurangnya tiga mayat ditutup dengan kain di luar pusat beli-belah berkenaan.

Ketua Polis Allen Brian Harvey berkata ketika penembak itu terbunuh, "seorang pegawai kami terdengar bunyi tembakan, dia pergi ke lokasi kejadian dan menyerang suspek, kemudian 'meneutralkan' suspek."

Saksi memberitahu CNN mereka melihat lelaki bersenjata yang berpakaian serba hitam dan memakai peralatan taktikal ketika serangan itu berlaku

Polis berjaya mengenal pasti kenderaan digunakan suspek dan skuad bom membuat pemeriksaan sebagai langkah berjaga-jaga, kata sumber.

Penembakan besar-besaran di Allen adalah yang terbaru dalam siri keganasan senjata api tanpa henti di seluruh Amerika Syarikat (AS), bahkan keganasan berlaku di pasar raya, sekolah, hospital dan tempat lain yang biasanya dianggap selamat.

Ia berlaku hanya beberapa hari selepas seorang lelaki bersenjata menembak mati sekurang-kurangnya seorang individu dengan pistol dan mencederakan empat yang lain ketika ketika mengunjungi pusat perubatan di Atlanta sebelum ditangkap beberapa jam kemudian.

Serangan ini antara sekurang-kurangnya 199 kes tembakan besar-besaran di AS membabitkan empat atau lebih mangsa ditembak, menurut Arkib Keganasan Senjata.

Ketua Bomba Allen Jonathan Boyd berkata, sembilan mangsa menerima rawatan di hospital, namun tidak dinyatakan bilangan yang cedera atau mati kerana pihak berkuasa tidak maklumat yang tepat.

Gabenor Greg Abbott menyifatkan serangan itu sebagai tragedi yang sukar diterima dan turut meluahkan simpati kepada mangsa dalam tragedi itu.

Seorang saksi berkata, dia melihat seorang lelaki yang terkena tembakan memegang lehernya, dan darah menitis ke tubuhnya.

Jaynal Pervez memberitahu sekutu CNN KTVT, dia baru tiba di pusat beli-belah itu sebelum anak perempuannya yang sudah berada di situ menelefon memaklumkan mengenai kejadian tembakan itu.

"Kami lihat polis di luar pintu (masuk pusat beli-belah) dan mengarahkan kami perlu pergi. Mereka (polis) masih mencari orang (suspek) itu," kata Pervez. "Tiada lagi tempat selamat. Saya tak tahu nak buat apa."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 11:37 AM
RAKAMAN video menunjukkan pengunjung keluar dari pusat beli-selepas insiden tembakan. FOTO Agensi
RAKAMAN video menunjukkan pengunjung keluar dari pusat beli-selepas insiden tembakan. FOTO Agensi