KAZARUL (kanan) bersama keluarga dan rakan.
KAZARUL (kanan) bersama keluarga dan rakan.

“Alhamdulillah, Ramadan kali ini yang ketiga bagi kami sekeluarga sejak tiba ke Afrika Selatan pada Ogos 2013 bagi menjalankan tugas di pejabat Tourism Malaysia, Johannesburg. Meskipun ada hampir dua juta penduduk Islam di Afrika Selatan, pertembungan budaya bagi negara bekas ‘apartheid’ ini membuatkan kami sangat teruja.

Perbezaan masa bagi Afrika Selatan ialah enam jam di belakang Malaysia, membuatkan kami sedikit tertinggal perkembangan mutakhir di tanah air.

Ketika ini musim sejuk di Afrika Selatan. Ini bermakna kami mengalami pengagihan masa sama di antara siang dan malam iaitu 12 jam.

Selama 12 jam ini juga tempoh kami berpuasa iaitu dari 5.31 pagi hingga jam 5.31 petang. Sepanjang Ramadan ini, waktu pejabat tidak berubah dan tamat pada jam 4.30 petang. Tempoh sejam ini adakalanya tidak menjamin kami sampai ke rumah sebelum waktu berbuka kerana kesesakan lalulintas.

Penyelesaian bagi saya ialah menunggang motosikal dan saya sudah mula menunggang selepas tiba bulan berada di sini.

Sejak hampir tiga tahun di sini, isteri bertanggungjawab menyediakan menu berbuka puasa.

Masakan ringkas Malaysia pula sering menjadi menu utama kami seperti ayam masak merah, kari ikan ataupun daging goreng kunyit. Bagi juadah ber­sahur pula, isteri selalunya membuat sedikit penambahan kepada lauk sedia ada sewaktu berbuka bagi mengelak pembaziran.

Dengan dua juta penduduk Islam di sini, masakan mereka masih sesuai dengan kami untuk dijadikan juadah berbuka. Antara masakan tempatan terkenal ialah ‘pap and vleis’, boerewors, bunny chow dan biltong.

Kami juga sering berbuka puasa dengan rakan senegara sama ada yang berkhidmat sebagai penjawat awam di sini, pekerja swasta mahupun pelajar Malaysia. Di sini ada kira-kira 300 pelajar Malaysia berusia antara 12 hingga 25 tahun melanjutkan pengajian di beberapa madrasah seperti Darul Uloom Zakariyya, Darul Uloom Azaadville ataupun Darul Uloom Newcastle.

Selalunya kami berbuka dengan mereka pada hujung minggu kerana kesuntukan masa. Antara lokasi berbuka luar kami ialah di Texakhana Spurs Rosebank, Cinnamon Palace Restaurant dan Simply Asia.

Adakalanya Suruhanjaya Malaysia di Pretoria menganjurkan sesi berbuka puasa dan solat Tarawih pada hujung minggu, tetapi ia bukan sesuatu yang diwajibkan berikutan kediaman kami kira-kira 45 minit perjalanan. Ada enam keluarga berkhidmat di Suruhanjaya Tinggi di Pretoria manakala kami di Johannesburg empat keluarga, termasuk kakita­ngan MATRADE.

Jika tidak berkesempatan menunaikan solat Tarawih di Pretoria, selalunya kami empat keluarga akan berkumpul sama ada di Masjid Ud-Duha atau Nizamiye Turkish Masjid.

Dalam menghadapi kesibukan kerja sepanjang minggu di pejabat, hujung minggu hari sering dinanti-nantikan ahli keluarga. Jika tiada perkara mendesak di rumah, kami melakukan aktiviti bersama rakan Malaysia yang lain. Antaranya bersukan seperti bermain golf dan bowling manakala aktiviti kekeluargaan pula seperti bekhemah dan memancing.

Bagaimanapun, pada Ramadan ini kami lebih banyak meluangkan masa di rumah bersama keluarga.

Pengalaman beraya di perantauan juga sangat menarik terutama ketika pertama kali menyambutnya di sini. Memang tidak dapat dinafikan kerisauan dan kesedihan berlegar di minda.

Kenangan tahun pertama yang paling tidak dapat kami lupakan ialah kesukaran mendapatkan bahan mentah untuk memasak juadah raya. Mujur ada rakan dari Malaysia sudi meminjamkan bahan mentah seperti daun pandan, kunyit dan sebagainya.

Takbir dan solat raya kami hanya lakukan bersama rakan Malaysia lain di Johannesburg. Ini kerana ketika itu Aidilfitri jatuh pada hari bekerja iaitu Isnin 28 Julai 2014.

Kerinduan pada makanan Malaysia memang tak dapat dielak terutama rendang, lemang, serunding, ketupat palas dan sebagainya.

Bagaimanapun, keakraban sesama rakyat Malaysia di sini menjadi pengubat rindu. Walaupun tidak seperti di kampung halaman, memadai dengan rendang ayam dan daging dimakan bersama nasi himpit. Kami juga saling ziarah menziarahi dan bertukar juadah agar dapat sama-sama merasa.

Program kemuncak apabila kami berkumpul di Rumah Malaysia, Pretoria. Lebih menarik apabila kami berjaya menjumpai kedai menjual bunga api dan pastinya anak-anak paling seronok ketika itu.

Tahun kedua sedikit sebanyak mematangkan kami. Anak-anak sudah mula mengerti cara menyambut lebaran di rantau orang. Isteri pula sudah arif dengan lokasi mendapatkan sumber bahan mentah yang mudah, murah dan halal untuk juadah raya.

Lebaran tahun ini bakal menjelma lagi dan ini yang terakhir buat saya serta keluarga berada di bumi Afrika Selatan. Walaupun 1 Syawal masih belum ditetapkan sama ada 6 atau 7 Julai, kami sentiasa bersedia.

Pelbagai pengalaman pahit dan manis ini akan kami bawa bersama pulang ke tanah air untuk dikongsi bersama rakan di Malaysia.

Sempena Ramadan ini serta Syawal yang bakal menjelang, saya Kazarul Izzham Nordin dan isteri, Norkhairul Hafiza Hamzah dan anak Muhammad An-Na’im, Khadeeja Nadyne dan Fateema Nafisa mengucapkan salam Ramadan dan Lebaran kepada ibu bapa Nordin Hanafiah dan Normah Abd Rahman serta ibu mentua Jawiyah Wan Ahmad.

Tidak dilupakan adik-beradik, sanak-saudara serta sahabat handai di Kuala Lumpur, Pasir Mas, Kedah, Melaka, Tourism Malaysia Putrajaya, penggiat indutri pelancongan Malaysia, Kak Limah Diving Team serta Muslimin dan Muslimat.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 6:31 AM