PEMAIN Portugal  Renato Sanches antara pemain yang mendapat perhatian selepas menjaring gol penyamaan ketika menentang Poland.
PEMAIN Portugal Renato Sanches antara pemain yang mendapat perhatian selepas menjaring gol penyamaan ketika menentang Poland.
SANTOS
SANTOS
Reuters

Marcoussis: Jurulatih Portugal Fernando Santos tidak risau jika orang berpendapat skuadnya ibarat ‘angsa hitam’ dalam kalangan pasukan yang masih bersaing di Euro 2016.

Pasukan bukan pilihan Iceland dan Wales menawan imaginasi umum manakala Itali yang dibimbing Antonio Conte jelas menyinar susulan kemenangan ke atas Sepanyol dan Belgium.

Portugal, sebaliknya, mara ke separuh akhir kejohanan ini buat kali keempat dalam lima percubaan tanpa menang satu perlawanan tempoh sebenar aksi 90 minit selain boleh dikatakan tidak begitu menyerlah.

Perlawanan pusingan kedua mereka menentang Croatia yang dimenangi pada minit-minit akhir masa tambahan juga dikritik sebagai antara yang paling buruk di kejohanan ini.

Santos, bagaimanapun, tidak kisah dengan apa yang orang fikir.

“Sudah tentu, Wales dan Iceland pasukan yang semua orang suka, kerana tiada siapa menjangkakan mereka pergi sejauh ini,” kata Santos kepada wartawan di ibu pejabat Persekutuan Ragbi Perancis di luar Paris yang menjadi pangkalan Portugal.

“Saya tidak risau menjadi angsa hitam atau seseorang yang berasa kecewa dengan diri sendiri. Saya lebih berminat untuk mara ke final dan muncul juara,” katanya.

Portugal akan bertemu Wales pada pertemuan separuh akhir di Lyon, pada Rabu ini.

“Keadaan itu langsung tidak merisaukan saya atau pemain saya. Adakah saya ingin kami (bermain) cantik? Ya. Tapi di antara menjadi cantik dan berada di rumah atau menjadi hodoh dan masih berada di sini, saya lebih gemar memilih hodoh.”

Santos sebelum ini kerap menekankan yang beliau hanya akan pulang ke Portugal pada 11 Julai, sehari selepas final.

“Saya akan menjadi tidak gembira jika sebaliknya yang berlaku. Saya berada di rumah dan orang berkata, kami sepatutnya masih lagi beraksi di kejohanan ini,” katanya.

“Kami mempunyai perancangan, sasaran dan sudah berusaha ke arah itu tapi bagi pihak lain, ia mungkin tidak begitu menarik.”

Santos menghamburkan pujian buat penyerang Cristiano Ronaldo yang masih tidak berupaya menjumpai sentuhan penyudah seperti mana ditunjukkannya di Real Madrid.

Ronaldo menjaringkan dua gol, kedua-dua ketika seri 3-3 dengan Hungary selain terlepas penalti ketika menentang Austria.

“Sudah tentu, anda tidak boleh membanding dan tidak patut membandingkan Cristiano Ronaldo yang bermain untuk Real Madrid dengan Ronaldo dalam pasukan kebangsaan, walaupun kami mempunyai Ronaldo yang fantastik di sini,” katanya.

“Sebagai kapten, dia menjadi contoh bukan saja kepada semangat pasukan ini tapi juga keazaman pasukan. Dia mahu melakukan yang terbaik serta menang dan dari aspek ini, dia begitu fantastik.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 10:58 AM