GAMBAR fail, anggota militan Abu Sayyaf.
GAMBAR fail, anggota militan Abu Sayyaf.
AFP

Manila: Bakal Presiden Filipina, Rodrigo Duterte kelmarin mempelawa kumpulan militan Abu Sayyaf yang baru-baru ini membunuh dua tebusan warga asing dan menculik tujuh mangsa berbincang untuk menamatkan konflik di selatan negara itu.

“Abu Sayyaf bukannya musuh saya. Saya tahu ia berkaitan dengan isu di Mindanao.

“Sebab itu saya bertanya kepada mereka adakah mereka mahu berbincang atau kita teruskan berperang,” ,” kata Duterte dalam satu majlis di Cebu lewat kelmarin.

Bakal pemimpin Filipina itu dilahirkan di Mindanao di mana pemberontakan penduduk beragama Islam selama puluhan tahun meragut lebih 100,000 nyawa.

Pentadbiran sebelum ini juga mengadakan perbincangan dengan beberapa kumpulan pemisah utama di selatan tetapi pada masa yang sama turut menghantar tentera memburu anggota Abu Sayyaf.

Abu Sayyaf adalah satu kumpulan yang ditubuhkan dengan dana daripada rangkaian al Qaeda pada 1990an dan kini memperoleh jutaan dolar melalui aktiviti penculikan.

Walaupun ketua kumpulan Abu Sayyaf menyatakan kesetiaan terhadap Daish tetapi penganalisis berkata, kumpulan itu lebih menumpukan aktiviti penculikan yang menguntungkan.

Kumpulan itu baru-baru ini memenggal kepala dua lelaki warga Kanada selepas tarikh akhir bayaran wang tebusan tamat.

Duterte pada Jumaat lalu berkata, dia dan pembantunya bertanggungjawab dalam rundingan yang membebaskan seorang wanita Filipina yang diculik kumpulan itu bersama lelaki Kanada berkenaan.

Pada awal tahun ini, Abu Sayyaf turut menculik empat kru kapal warga Malaysia dan 14 warga Indonesia sebelum semua tebusan dibebaskan beberapa bulan kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 9:29 AM