MUSA memberi sumbangan pada majlis berbuka puasa. FOTO Norasikin Daineh
MUSA memberi sumbangan pada majlis berbuka puasa. FOTO Norasikin Daineh
Norasikin Daineh


Tawau: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyifatkan keputusan memecat dan menggantung tiga ahli UMNO Jumaat lalu bukan keputusan yang tergesa-gesa sebaliknya selepas penelitian dibuat dan hasil sebulat suara daripada semua ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, pihaknya menerima keputusan ahli MT di atas pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai ahli UMNO manakala Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keahliannya sehingga siasatan selesai.

"Kita maklum keputusan ini bukan diambil secara tergesa-gesa sebaliknya mengambil masa yang lama selepas meneliti sikap dan tindakan mereka yang terlibat yang telah secara berterusan membelakangkan kepentingan dan integriti parti.

"Bagi kita apa yang penting adalah perjuangan parti. Kesatuan, perpaduan pemimpin dan ahli UMNO di semua lapisan amat penting untuk memastikan UMNO terus kuat dan mantap dibawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden dan Perdana Menteri," katanya dalam sidang media di Masjid Al-Kauthar, di sini, hari ini.

Terdahulu, Musa menghadiri majlis berbuka puasa bersama UMNO Zon 6 (Silam,Semporna, Tawau dan Kalabakan) dan 40 golongan asnaf dan mualaf diberikan sumbangan dalam majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 9:00 PM