ELFAEZA anjur kempen bersihkan surau.
ELFAEZA anjur kempen bersihkan surau.
Syanty Octavia Amry


Memanfaatkan Ramadan dengan membersihkan surau di sekitar ibu kota, pelakon Elfaeza Ul Haq (Elfa), 30, tidak menyangka usahanya itu mendapat sokongan sekumpulan pencuci rumah. Mewujudkan kempen yang diberi nama Toharoh Rumah Allah, Elfa bersama kumpulannya mencuci permaidani surau.

Pelakon kelahiran Singapura ini berkata semuanya bermula selepas dia bersolat di surau ketika menjalani penggambaran.

“Waktu lapang saya manfaatkan dengan melakukan perkara berfaedah.

“Apabila tidak buat apa-apa pada Ramadan ini saya terfikir untuk melakukan sesuatu.

“Selepas teringat pengalaman menggunakan surau yang permaidaninya berhabuk dan kotor, terfikir ada baiknya saya membersihkan permaidani surau.

“Tidak sangka hasrat saya ini mendapat sokongan The Maher Cleanz yang melakukan kerja mencuci rumah dan pejabat. Sebagai permulaan saya menggunakan wang sendiri sebagai sedekah,”katanya.

Menurut Elfaeza, dia memilih surau bagi melaksanakan kempen itu kerana yakin masjid sudah ada dana yang diberikan kerajaan.

Malah dia melaksanakannya pada Ramadan kerana surau menjadi tumpuan orang ramai untuk melakukan solat Tarawih.

“Saya berharap kempen ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang terutama ketika Ramadan.

“Saya juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi menghulurkan dana. Mana-mana pengurusan surau yang mahu kami cuci tempat mereka bolehlah menghubungi kami di Instagram Toharoh Rumah Allah,” katanya.

Beralih perihal karier lakonan, Elfaeza menjayakan telefilem Raya Kami yang bakal bersiaran di TV3 pada Aidilfitri nanti.

“Tak ada banyak tawaran berlakon. Mungkin kerana ramai menyangka saya sibuk di Singapura.

“Ada juga tawaran saya terpaksa tolak kerana tidak bersesuaian dengan penampilan yang sudah bertudung. Malah ada tawaran berlakon di Singapura yang meminta membuka tudung dan sudah tentulah saya tidak boleh terima.

“Saya anggap ini ujian dan reda. Walaupun kadangkala risau juga me­ngenangkan tiada tawaran bermakna tiadalah kerja untuk saya.

“Apa-apa pun saya percaya rezeki setiap manusia sudah ditetapkan Ilahi. Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya,” kata pelakon drama Adam dan Hawa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 12:21 PM