WAN Abu Bakar  (kanan) bersama   Wan Mokhtar  memasang karpet baru di surau  yang ditenggelami banjir besar  tahun lalu.
WAN Abu Bakar (kanan) bersama Wan Mokhtar memasang karpet baru di surau yang ditenggelami banjir besar tahun lalu.

Tumpat: Semalam menyaksikan pembukaan semula surau yang berusia lebih 30 tahun di Kampung Laut, di sini, selepas ditutup selama enam bulan berikutan rosak teruk akibat banjir, Disember lalu.

Lebih barakah apabila pembukaan semula surau itu dibuat sempena Ramadan 1436 Hijrah dan membolehkan penduduk menunaikan solat sunat tarawih yang pertama, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Laut Wan Abu Bakar Wan Mohd Nor berkata, surau yang dinamakan Surau Merdeka itu tidak digunakan sejak banjir besar lalu berikutan rosak dan perlu dibaiki.

Bagaimanapun, katanya, minggu lalu sebuah pertububan bukan kerajaan (NGO) menyumbang permaidani baru dan peralatan lain sekali gus membolehkan surau dibuka kembali.

“Kami gembira kerana bantuan tiba ketika umat Islam bakal menyambut Ramadan dan Alhamdulillah, dapatlah penduduk kampung menggunakan surau ini untuk beribadat dengan lebih selesa.

“Walaupun banyak kerosakan lain lagi, tetapi yang utamanya adalah permaidani kerana perlu menjadi alas lantai dan pemberian NGO itu sangat kami hargai.

“Jika tiada permaidani ini, kemungkinan lama lagi surau itu dibiarkan sepi kerana kami tiada dana,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Wan Abu Bakar, surau berkenaan mampu memuatkan seramai lebih 100 jemaah dalam satu masa.

Katanya, dalam tempoh pasca banjir lalu, terdapat beberapa pihak termasuk Universiti Teknologi MARA dan NGO tampil membantu penduduk kampung membersihkan surau.

“Mereka sekadar bersih dan buang lumpur banjir, namun surau masih belum boleh digunakan kerana kerosakan permaidani, sejadah, al-Quran serta dindingnya.

“Hinggalah kami menerima permaidani baru minggu lalu, maka secara rasminya surau boleh dibuka untuk Ramadan,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Wan Mokhtar Wan Muhammad, 49, berkata, selepas banjir lalu, kebanyakan penduduk menunaikan solat di masjid serta surau berdekatan kampung mereka.

“Pemberian permaidani ini benar-benar mengembirakan kami kerana buat pertama kalinya selepas banjir, penduduk dapat beribadat di sini semula.

“Selama enam bulan kami terpaksa mencari surau dan masjid lain yang boleh digunakan dan kedatangan Ramadan ini sangat menggembirakan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 9:09 AM