ELFA membuka kelas menguruskan badan.
ELFA membuka kelas menguruskan badan.
Syanty Octavia Amry

Akibat terlalu memilih watak menyebabkan pelakon, Elfaeza Ul Haq, 30, jarang muncul di televisyen. Pun begitu, wanita berasal dari Singapura ini sedikit pun tidak berkecil hati jika ada yang masih tidak mengenali dirinya.

Baginya, yang penting adalah kepuasan dalam berlakon, apatah lagi dia kerap mendapat tawaran berlakon drama episod yang mengambil masa agak lama.

Justeru, selesai penggambaran wanita yang mesra dengan panggilan Elfa ini lebih suka berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga.

"Memang sudah lama saya tidak muncul di televisyen, tetapi ada beberapa drama saya yang ditayangkan lebih kepada siaran televisyen yang kurang penontonnya.

"Mungkin sebab itu orang seperti tidak perasan kehadiran drama saya. Saya akui ini terjadi kerana saya memilih terhadap watak yang dijayakan.

"Malah kebanyakan watak lakonan saya mengambil masa yang panjang menyebabkan saya lebih selesa menyelesaikan satu persatu dan bukan dalam tempoh yang terdekat untuk menerima tawaran drama baru," katanya ketika ditemui selepas pelancaran drama bersiri terbaru lakonannya berjudul Keluarga Karaoke, baru-baru ini.

Selain Elfa, Keluarga Karaoke turut dibintangi Raja Ema, Elyana, Dazrin Kamaruddin, Sherry Ibrahim, Beego dan Razak Ahmad.

Drama 60 episod itu bakal menemui penonton di Astro Mustika HD (saluran 134) dan serentak di Astro Bella (133) bermula 9 Februari ini.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam drama ini, walaupun ia hanya komedi ringan, Elfa tertarik kerana ia mempunyai kisah menarik yang harus ditonton oleh semua.

"Saya seronok kerana bekerja dengan ramai pelakon. Malah penggambaran yang mengambil masa panjang memberi banyak pengalaman buat saya berkongsi pendapat dengan pelakon sedia ada baik pelakon senior mahu pun yang baru.

"Hampir empat bulan bersama mereka terasa keserasian itu. Dengan tempoh yang lama itu, sekarang masa untuk saya berehat dan memberi fokus untuk bersama-sama keluarga.

"Maklumlah kerja sebagai pelakon ini tidak menentu, ada waktu lapang saya harus manfaatkannya dengan keluarga selain merehatkan diri dan minda daripada kesibukan kerja," katanya.

Selain berlakon, Elfa kini turut menjadi pengajar kepada golongan yang hendak kurus dan mendapatkan berat badan menarik.

Semua ini berlaku selepas dia membabitkan diri pada program jom kurus yang dibuat oleh Kevin Zahari. Mengajar lapan orang peserta, Elfa mengakui banyak perkara yang dapat dikongsi bersama mereka.

"Apa yang saya lakukan sekadar berkongsi pengalaman dengan mereka yang hendak menurunkan berat badan.

"Sebagai orang yang pernah melalui keadaan itu, saya mahu mereka tahu ada cara yang lebih baik dan bagus untuk dipraktikkan daripada membuang duit banyak-banyak membeli produk kurus yang belum tentu lagi keberkesanannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:07 AM