SEMAKIN bahagia.
SEMAKIN bahagia.
BERSAMA kedua-dua anaknya.
BERSAMA kedua-dua anaknya.
Sudirman Mohd Tahir


Selepas tujuh tahun berkahwin dengan Mohd Raqeem Brian, 45, penyanyi dan pengacara, Nana Mahazan, 33, mengakui tidak sukar untuk mendidik suaminya yang juga seorang mualaf.

Nana atau nama sebenarnya Nurhana Che Mahazan berkata, suaminya terlebih dahulu bersikap terbuka terhadap Islam sebelum membuat keputusan memeluk agama itu.

“Setiap perkahwinan pasti ada cabarannya. Ketika mahu berkahwin dulu, ramai yang berkata saya pasti berdepan kesukaran kerana perlu mendidik bakal suami. Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan perjalanan kehidupan kami.

“Kalau nak tahu suami memeluk Islam dengan hati terbuka dan bukan sebab nak berkahwin dengan saya semata-mata. Jadi dia sudah menerima Islam sebelum itu lagi.

“Selepas berkahwin, saya tidak perlu bersusah payah mengajarnya kerana dia sudah mengetahui banyak perkara. Cuma pada tahun pertama perkahwinan kami, saya melihat dia sangat tekun mendalami ajaran Islam,” katanya.

Nana yang juga bekas penyampai radio Era FM menyifatkan suaminya seorang individu yang sentiasa ingin belajar dan membaiki diri.

Setiap tahun dia melihat perubahan pada suaminya yang lebih suka mendekatkan diri pada agama terutama pada setiap kali Ramadan.

“Sepanjang kami berkahwin, dia tidak pernah meninggalkan puasa. Saya menyangka dia berdepan masalah pada mulanya, tetapi saya silap. Malah ada ketika dia lebih bersemangat daripada saya.

“Pendek kata dalam perkara ini, suami seorang yang mudah menerima perubahan dalam hidupnya. Dia begitu terbuka dan sentiasa menunjukkan minat untuk belajar. Disebabkan itu dia sangat suka setiap kali tiba Ramadan,” katanya.

Cukup dua anakNana yang kini memiliki dua cahaya mata berusia enam dan tiga tahun tidak bercadang menambah bilangan anak.

“Ikutkan memang nak tambah lagi, tetapi melihatkan keadaan persekitaran kita sekarang bagi saya memadai dua dahulu. Saya dan suami pun tidak mempunyai sebarang perancangan menambah anak.

“Kalau boleh kami mahu memberikan yang terbaik untuk anak. Kami ingin mereka membesar dengan penuh kasih sayang dan kelengkapan yang mencukupi,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Nana kini kembali mengacara apabila terbabit dalam program hiburan Pop TV di TV9.

“Saya seronok dengan kerjaya sekarang. Walaupun sebelum ini sudah mempunyai pengalaman mengacara beberapa program, masih banyak yang perlu saya pelajari. Malah sejak mengacara program ini, banyak perkara baru saya terima.

“Sepanjang 13 tahun bergelar anak seni saya sudah melalui banyak perkara sama ada manis atau pahit. Semua itu membuatkan saya jadi lebih kuat. Jika dahulu lebih teruk saya kena hentam, tetapi selepas berkahwin dan sedikit demi sedikit peminat mulai menerima saya. Itulah yang dinamakan rezeki,” kata bekas peserta Akademi Fantasia musim pertama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 12:19 PM