FAIL Harian Metro
FAIL Harian Metro
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


HAMPIR 10,000 pesawah di Perlis dikesan tidak berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK MADA) sekali gus bakal terlepas manfaat diperuntukkan kerajaan menerusi Bajet 2018.

Exco Kemudahan & Prasarana Awam, Kemajuan Luar Bandar & Pembasmian Kemiskinan, Kesihatan Perlis, Nurulhisham Yaakob, berkata kegagalan mendaftar antara faktor kebanyakan pesawah merasakan diri mereka dipinggirkan oleh kerajaan.

“Ketika ini 14,000 pesawah menjadi ahli dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerusi PPK berharap kira-kira 10,000 pesawah dapat segera berdaftar di pejabat PPK kawasan mereka.

“Kita tidak mahu apabila tiba masa untuk menerima wang insentif, ramai yang tidak dapat dan akan timbul tohmahan terhadap agensi kerajaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Insentif Projek Ested Padi NKEA EPP 10 Peringkat PPK B-1 Kayang di Behor Lateh, Kangar, hari ini.

Dalam majlis itu, RM321,830 insentif pesawah diagihkan kepada 232 peserta projek NKEA EPP 10 bagi PPK B-1 Kayang untuk Musim 2/2017.

Seramai 1,424 pesawah bakal menerima insentif bernilai RM3.09 juta bagi musim 2/2017 secara berperingkat di Perlis.

Nurulhisham berkata, wang insentif kepada pesawah iaitu RM200 untuk tiga bulan sementara menunggu hasil menuai padi yang diumumkan dalam Bajet 2018 adalah dana khusus untuk mereka daripada kerajaan.

“Kebanyakan pesawah yang tidak mendaftar adalah mereka yang memperoleh tanah pusaka daripada ibu bapa mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 8:42 PM