CHALET kini antara tempahan paling tinggi di D’Reebu Sdn Bhd.
CHALET kini antara tempahan paling tinggi di D’Reebu Sdn Bhd.
MERANTI antara jenis kayu popular diminta pelanggan untuk tempahan pondok atau pergola.
MERANTI antara jenis kayu popular diminta pelanggan untuk tempahan pondok atau pergola.
PENGGUNAAN rumput tiruan boleh digunakan sebagai alas bagi mereka yang masih mahukan permukaan hijau di bawah pondok.
PENGGUNAAN rumput tiruan boleh digunakan sebagai alas bagi mereka yang masih mahukan permukaan hijau di bawah pondok.
ANTARA bentuk pergola yang biasa dilihat di taman dan kawasan riadah.
ANTARA bentuk pergola yang biasa dilihat di taman dan kawasan riadah.
Rosyahaida Abdullah


Menjadi impian majoriti pemilik kediaman bertanah untuk mendekorasi perkarangan luar rumah dengan landskap ala taman disertai tempat bersantai seperti pondok istirahat sama ada buat tetamu mahupun penghuni sendiri.

Bagaimanapun, tidak ramai menjadikannya realiti dek memikirkan harga sebuah pondok yang lebih dikenali sebagai gazebo, wakaf atau pergola ini pun sudah mencecah ribuan ringgit.

Itu belum mengambil kira kos penyelenggaraan yang perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia tahan lama dan sentiasa kelihatan cantik seperti baru.

Sebenarnya, jika difahami jenis kayu yang digunakan dalam pembuatan pondok terbabit, begitu banyak kos mampu dijimatkan, malah penjagaannya juga menjadi lebih mudah.

Malah, setiap pondok berasaskan kayu mampu bertahan lebih lama jika diletakkan pada permukaan kering dan keras seperti simen, bukannya rumput atau tanah.

Pembantu Pengurus D’Reebu Sdn Bhd Ady Putra Alias berkata, cengal, meranti, balau dan merbau antara jenis kayu yang biasa digunakan dalam pembuatan wakaf atau pergola buat pelanggan.

Kebanyakan pelanggan gemar memilih kombinasi kayu balau dan meranti untuk tempahan pondok terbabit disebabkan harganya lebih murah dan jangka hayat juga mencecah sehingga 10 tahun.

Namun, jika kualiti menjadi topik utama bicara, beliau serta-merta menyarankan penggunaan cengal menggantikan balau disebabkan ia lebih tahan cuaca serta serangga pemakan kayu seperti anai-anai.

“Penggunaan kayu balau tidak mendatangkan masalah pada peringkat awal, sehinggalah apabila ia mula berkulat kemudian reput. Mereka (pembeli) akan panggil kami semula untuk baiki kerosakan dan ini tentulah tidak menyeronokkan.

“Bagi kami, cengal kayu terbaik kerana sifat kimia semulajadinya yang kalis anai-anai dan tahan cuaca sehingga 30 tahun, namun ia lebih mahal kerana berkait dengan isu terhad dan makin sukar diperoleh,” katanya.

Menurut Ady Putra, walau apapun, pelanggan digalakkan mengenali jenis kayu itu terlebih dulu sebelum membuat keputusan dan tidak sesekali membuat pilihan bersandarkan pada nampak cantik semata-mata.

Ini bagi memastikan mereka berpuas hati dan tidak tertekan pula jika pondok yang sudah dibeli didapati cepat rosak terutama pada bahagian kakinya.

“Kalau cantik tapi terlalu rapuh pun susah juga. Dengan cuaca kita yang panas dan lembap sepanjang tahun, ketahanan faktor yang tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Mengulas kombinasi kayu yang biasa dilakukan dalam pembuatan pergola, perabot taman, rumah kayu serta chalet di D’Reebu Sdn Bhd, Ady Putra menjelaskan, balau dan cengal kayu popular digunakan bagi pembinaan struktur.

Berlainan pula bagi meranti dan merbau yang lebih sesuai digunakan untuk jenang dinding, bingkai dan lantai.

Disebabkan itu, katanya, mustahil untuk setiap tempahan dihasilkan dengan menggunakan hanya satu jenis kayu.

“Bagi pembuatan rumah kayu misalnya, jika digunakan juga cengal untuk pembinaan bingkai pada bahagian tingkap, ia akan pecah ketika [ditembak’ dengan paku, namun meranti tiada masalah.

“Kayu lain juga sama. Jika tidak kena dengan fungsinya, ia akan meleding, merekah dan sebagainya. Dalam hal ini, mustahil untuk setiap tempahan dihasilkan dengan hanya menggunakan satu jenis kayu.

“Andai kata ada pelanggan yang sebolehnya mahukan tempahannya menggunakan cengal semata-mata, saya boleh anggarkan maksimum penggunaan kayu ini cuma boleh mencecah sehingga 97 peratus, masih memerlukan kayu lain untuk bahagian tertentu,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan kayu pada matanya sebagai pembuat produk berasaskan kayu sejak hampir dua dekad lalu, Ady Putra berkata, cengal lebih baik berbanding balau manakala merbau lebih baik berbanding meranti.

Namun jelasnya, tentu sekali harga kayu yang lebih baik lebih mahal, justeru pelanggan bebas memilih mengikut kemampuan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:02 AM