Pokok Cengal (Neobalanocarpus heimii) adalah sejenis pokok kayu keras yang popular. Biasanya terdapat di kawasan Semenanjung, Singapura dan selatan Thailand.

Kayunya berkualiti dan terbaik serta tergolong dalam keluarga dipterocarpacease iaitu sejenis pokok menghasilkan buah yang mempunyai sepasang sayap serta mengeluarkan resin atau damar.

Tidak dinafikan kayu cengal adalah kayu keras yang tahan lama dan mempunyai ketumpatan antara 915 hingga 980 kilogram per meter padu yang kebiasaannya digunakan dalam kerja pembinaan berat.

Ia termasuk pembinaan bot, dijadikan tiang dan jambatan tanpa perlu diawet kerana ia tahan dari sera­ngan anai-anai.

Ketahanan kayu itu disebabkan terdapat sejenis bahan awet semula jadi yang melindungi kayu teras.

Kayu gubal, teras dan kulit pokok cengal mempunyai sejenis damar yang dikenali sebagai damar penak serta boleh digunakan dalam pembuatan varnis.

Di negara ini pokok ce­ngal tumbuh di kawasan hutan tanah pamah yang mempunyai ketinggian kurang dari 1,000 meter terutama di kawasan yang mempunyai saliran air yang baik.

Kebiasaannya pokok cengal hidup dengan baik di kawasan yang menerima hujan lebih dari 2,000 milimeter setahun dan tiada musim kemarau panjang.

Pokok Cengal terbesar dan tertua di negara ini dijumpai di gunung Mandi Angin, Kompartmen 5, Hutan Simpan Pasir Raja, Hulu Dungun pada 1999 oleh Pegawai Renjer Durian Mas II, Encik Omar Mohamad.

Ia setinggi 65 meter de­ngan ukur lilitnya 16.75 meter, atau kira-kira 13 pemeluk dan bergaris pusat 5.32 meter.

Usia pokok tertua ini dianggarkan 1,300 tahun iatu berdasarkan kaedah pengiraan pokok di kawasan tropika mengikut pertumbuhan gegelang pada kadar 0.4 sentimeter setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 5:00 AM