PILIHAN lantai yang sesuai untuk kediaman juga tidak seharusnya diambil ringan.
PILIHAN lantai yang sesuai untuk kediaman juga tidak seharusnya diambil ringan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


APABILA berpeluang membina atau membeli kediaman idaman, pasti perkara utama yang bermain di fikiran adalah untuk mengubah suai mengikut selera pilihan.

Selain pemilihan perabot dan tema dekorasi, pilihan jenis lantai yang sesuai juga tidak seharusnya diambil ringan.

Ini kerana, lantai adalah ruang paling luas di dalam kediaman dan ia mudah terdedah kepada kesan lusuh dan kerosakan.

Kesan kerosakan dan lusuh berlaku apabila anda kerap berjalan di atasnya, akibat mengheret atau mengalihkan perabot ataupun menjatuhkan barangan berat di atas lantai.

Oleh itu, lantai perlu mempunyai ciri-ciri yang mampu tahan lama kerana ia dapat meningkatkan lagi nilai jualan semula kediaman.

Namun, diakui proses pemilihan bahan binaan lantai untuk kediaman bukan sesuatu yang mudah dan ada kalanya mengelirukan, lebih-lebih lagi apabila terdapat banyak pilihan di pasaran.

Antara jenis lantai yang paling banyak digunakan di kediaman di negara ini adalah lantai kayu, lantai lamina, lantai vinil, jubin, simen dan marmar.

Jika anda ingin menghiasi ruang dalaman rumah dengan tema scandinavia atau Bali contohnya, lantai kayu keras adalah pilihan yang paling sesuai sekali.

Lantai kayu keras diperbuat sepenuhnya daripada pokok kayu balau, nyatoh, merbau, kempas, cengal, jati dan belian.

Terdapat juga spesies lain seperti kayu daripada pokok ash, beech, white oak, tasmanian oak, Russian pine dan walnut.

TEKNOLOGI canggih pada masa kini membuatkan lantai lamina kelihatan sama berbanding kayu yang sebenar
TEKNOLOGI canggih pada masa kini membuatkan lantai lamina kelihatan sama berbanding kayu yang sebenar

Kayu merbau, jati dan belian misalnya terkenal dengan ciri-ciri istimewa seperti anti anai-anai, membuatkan ia lebih mahal dan tahan lama.

Lantai kayu keras boleh didapati dalam bentuk jalur, papan dan parket (parquet) selain ia sesuai dipasang di semua bilik kecuali tandas atau bilik mandi.

Ia terbukti dari segi ketahanan dan tidak mudah rosak meskipun sudah digunakan dalam tempoh masa yang lama serta menjadi lebih cantik jika dijaga dengan baik.

Namun begitu, lantai jenis itu boleh tercalar dan perlu menggunakan permaidani ataupun karpet bagi mencegah kerosakan.

RUANG yang lembap perlu jenis lantai yang sesuai.
RUANG yang lembap perlu jenis lantai yang sesuai.

Sebagai pilihan yang lebih mampu milik, anda boleh menggunakan lantai kayu lamina.

Ia diperbuat daripada bentuk papan yang panjang dan terdiri daripada cantuman beberapa lapisan kayu.

Lapisan bawah adalah lapisan sokongan yang membantu untuk menghalang kelembapan. Manakala lapisan atasnya pula adalah isi dalaman yang diperbuat daripada gentian kayu mampat dicampur dengan resin untuk membuatkan ia lebih kukuh.

Lapisan seterusnya berfungsi sebagai pemberi corak atau 'karakter' kepada kepingan lantai lamina itu

Teknologi percetakan yang canggih pada masa kini membuatkan lantai lamina kelihatan sama berbanding kayu yang sebenar.

Pada masa sama, lapisan paling atas ialah lapisan pelindung lutsinar yang keras untuk melindungi lantai daripada kesan calar, rosak ataupun lusuh

Oleh kerana lantai lamina mempunyai lapisan pelindung di bahagian atas dan lapisan tahan kelembapan di bahagian bawah, ia sesuai untuk dipasang di kawasan seperti bilik air, dapur dan bilik dobi.

LANTAI kayu tereka bentuk adalah alternatif popular kerana ia menawarkan rupa bentuk dan corak  hampir sama dengan lantainkayu keras tetapi datang dengan harga yang lebih murah dan mudah dipasang.
LANTAI kayu tereka bentuk adalah alternatif popular kerana ia menawarkan rupa bentuk dan corak hampir sama dengan lantainkayu keras tetapi datang dengan harga yang lebih murah dan mudah dipasang.

Lantai lamina adalah pilihan yang semakin popular dalam kalangan pemilik rumah kerana harga berpatutan, tahan lama, mudah diselenggara dan kos pemasangannya juga lebih rendah.

Meskipun tidak boleh digilap, tetapi mana-mana kepingan yang rosak boleh digantikan dengan mudah.

Dalam pada itu, lantai kayu tereka bentuk juga boleh dijadikan pilihan untuk menghiasi ruang di kediaman anda.

Ia diperbuat daripada beberapa lapisan papan lapis yang ditambah dengan satu lapisan kayu keras.

Lantai kayu tereka bentuk adalah alternatif yang popular untuk lantai kayu keras kerana ia menawarkan rupa bentuk dan corak hampir sama tetapi datang dengan harga yang lebih murah dan mudah dipasang.

Namun walaupun cantik tetapi ia mudah terdedah kepada kesan calar dan kemek, sama seperti lantai kayu keras.

Akhir sekali, lantai vinil atau lantai PVC juga boleh dijadikan pilihan.

Lantai jenis itu mempunyai ketebalan berbeza bergantung kepada haba dan tekanan yang digunakan ketika proses pembuatan.

Ia boleh didapati dalam bentuk papan, lembaran dan jubin selain pemasangan yang mudah serta penyelenggaraan minimum.

Lantai vinil adalah pilihan ekonomi yang boleh didapati dalam pelbagai warna dan tekstur menyerupai kayu, batu, terazo, konkrit dan reka bentuk lain.

Ia juga mempunyai permukaan lebih lembut berbanding dengan kayu atau jubin, menjadikannya lebih selesa untuk anda berdiri di atasnya dalam tempoh yang lama.

Lantai pilihan yang popular bagi kebanyakan kediaman di Malaysia itu juga tahan kotoran dan kelembapan.

Ia menjadikan lantai vinil sesuai dipasang di bilik mandi, dapur, ruang dobi dan kawasan yang digunakan ramai.

Namun, kelemahan lantai vinil adalah ia akan berubah warna jika ia dipasang di kawasan yang mendapat cahaya matahari secara terus.

Jadi, tepuk dada tanya selera. Apapun jangan lupa bajet yang ada kerana tidak perlulah sampai biar papa asal kediaman kelihatan bergaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 7:00 AM