MASJID Kampung Tengah di Ulu Cheka. FOTO Roselan Ab Malek
MASJID Kampung Tengah di Ulu Cheka. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

Jerantut: Masjid Kampung Tengah di Ulu Cheka dekat sini, yang berusia lebih 100 tahun kekal kukuh malah masih digunakan sebahagian penduduk.

Masjid Kampung Tengah turut menjadi warisan sejarah kampung itu dan digunakan penduduk sebagai pusat kegiatan masyarakat.

Penduduk, Jamluh Matzium, 68, berkata, Masjid Kampung Tengah dibina pada 1915 berdasarkan catatan pada mimbar masjid bertarikh 1333 Hijrah, 1915 dan ia bererti, rumah ibadat berkenaan sudah berusia 108 tahun.

Katanya, berdasarkan kisah diceritakan penduduk asal, masjid itu dibina atas arahan Nong Taib Santan atau lebih dikenali sebagai Pawang Nong, tokoh yang kemudiannya berjuang menentang penjajah Jepun dan pengganas komunis.

Nong Taib dan tujuh rakannya dikatakan membuka Kampung Ulu Cheka pada 1907 dan beliau dilantik sebagai ketua kampung pertama sehingga 1966.

"Masjid dibina secara gotong-royong dengan dananya diperoleh melalui sumbangan masyarakat serta kutipan zakat.

"Tukang utama membina masjid itu ialah Hijau Loah dan adiknya, Mat Amin. Mereka menggunakan kayu hutan seperti merbau dan cengal yang dibelah sendiri oleh penduduk," katanya.

JAMLUH menunjukkan tiang masjid yang diperbuat menggunakan kayu merbau dan cengal. FOTO Roselan Ab Malek
JAMLUH menunjukkan tiang masjid yang diperbuat menggunakan kayu merbau dan cengal. FOTO Roselan Ab Malek

Jamluh berkata, sehingga kini, masjid yang dibina tanpa menggunakan paku itu masih kukuh serta tidak terjejas oleh anai anai.

"Pembinaan masjid ini menggunakan sistem tebuk dan pasak yang tidak memerlukan pemasangan paku selain memiliki bumbung limas yang berbentuk piramid menirus ke atas.

"Ia tidak pernah dialih atau dipindahkan, tidak dilanda banjir dan tidak pernah diubahsuai. Tapak masjid ini masih lagi tapak asal ia dibina," katanya.

Menurut Jamluh, walaupun kini sudah ada masjid baru yang lebih besar dan cantik, namun penduduk berdekatan masih menggunakan masjid berkenaan.

Jamluh berkata, selain untuk solat, masjid berkenaan turut digunakan untuk menuntut ilmu agama selain membaca al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 7:01 AM