Sia Chew Mui maut di tempat kejadian selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan bas a
Sia Chew Mui maut di tempat kejadian selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan bas a
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Wanita warga emas berusia 77 tahun maut selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan bas di lampu isyarat Jalan Nibong 17, Jalan Daya, Taman Daya di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 6.35 pagi itu, Sia Chew Mui @ Sin Ah My yang berada di tempat duduk penumpang hadapan maut di lokasi kejadian.

Pemandu kereta itu, Chua Pik Di, 64, dilaporkan cedera di bahagian kepalanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kereta dinaiki mangsa yang datang dari arah Taman Daya menghala ke Taman Setia Indah bergerak terus pada simpang empat lampu isyarat itu ketika lampu isyarat berwarna hijau.

Bagaimanapun, katanya, secara tiba-tiba kereta terbabit dilanggar sebuah bas yang berada di lorong kedua dari kiri arah Taman Setia Indah ke Taman Daya.

"Siasatan awal mengesyaki bas terbabit tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.

"Pelanggaran itu memyebabkan kereta berpusing ke jalan bertentangan, manakala bas terlajak ke hadapan dan melanggar pembahagi jalan," katanya.

Menurut Sulaiman, penumpang kereta wanita yang parah di bahagian kepala, maut di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Pemandu kereta yang cedera di bahagian kepala dihantar ke Zon Merah Hospital Sultan Ismail di sini, untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemandu bas berusia 64 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 10:25 PM