Penyanyi, Ameng Spring
Penyanyi, Ameng Spring
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Ameng Spring memaklumkan pernah ditawarkan merakamkan lagu baharu oleh seorang komposer terkenal tanah air.

Ameng yang popular menerusi lagu Sampai Hati bagaimanapun menolak kerana melihat ia hanya membabitkan keuntungan sebelah pihak dan besar kemungkinan lagu terbabit tak meletup.

"Single ini sebenarnya akan dimuatkan dalam projek album terbaharu komposer terbabit. Ramai penyanyi lain akan turut serta.

"Ikutkan memang seronok kerana ada orang nak hasilkan lagu untuk kita secara percuma. Maklumlah kos untuk hasilkan lagu pun bukan murah sekarang.

"Bagaimanapun apabila meneliti semula, kerja-kerja ini dibuat tanpa bayaran saguhati dan hanya rakaman semata-mata," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya tiada sebarang saguhati diberikan seperti duit poket untuk pelbagai kos yang terpaksa dikeluarkannya.

"Kalau nak bergerak ulang alik ke studio pun dah kena kira kos minyak dan lain-lain. Dia kata mana tahu kalau lagu popular nanti show banyak.

"Saya faham kata-katanya tapi kena fikir juga kemungkinan lagu ini akan meletup walaupun ciptaan dia. Macam-macam boleh berlaku sekarang.

"Saya akhirnya ambil keputusan tolak cara baik. Rasanya lebih baik saya tak payah buat dan fokus menyanyi di majlis makan malam sahaja," katanya.

Selain lagu Sampai Hati, zaman kegemilangan kumpulan Spring sekitar era 90-an menyaksikan nama mereka meniti di bibir peminat dengan lagu Butakah Cinta, Romantis, Bourgenvilla dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 2:10 PM