SULAIMAN (lima dari kiri) dan Rohime (tiga dari kanan)  bersama rombongan kereta Perdana baru di Menara AmBank, Kuala Lumpur.
SULAIMAN (lima dari kiri) dan Rohime (tiga dari kanan) bersama rombongan kereta Perdana baru di Menara AmBank, Kuala Lumpur.
Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) mahu mentransformasikan keupayaan perbankan digitalnya dan menjangka untuk melancarkan produk digital baharu dalam tempoh enam bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, kemasukan teknologi kewangan (fintech) ke arah perbankan mudah alih yang lebih baik, pengurusan tunai dan memahami sikap pelanggan kini menjadi amat penting kepada bank.

“Langkah ini akan membantu kami memacu produktiviti lebih baik secara keseluruhan,” katanya selepas menghadiri Konvoi Proton Perdana baharu di Menara AmBank di sini, semalam.

Beliau berkata, fintech akan disediakan dengan kerjasama rakan kongsi semasa bank seperti pemegang saham ANZ Banking Group, Insurance Australia Group dan MetLife Insurance Company.

“Rakan-rakan kami lebih baik dari segi teknologi dan saya mahu memanfaatkannya,” katanya sambil berharap majoriti daripada pemegang akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) melakukan perbankan dalam talian dengan bank itu.

Mengenai kesan jika ANZ Banking Group menjual kepentingannya sebanyak 24 peratus dalam AmBank, Sulaiman berkata: “saya tidak nampak kesannya.”

Sementara itu, konvoi yang terdiri daripada enam buah kereta Proton Perdana baharu itu membuat persinggahan di Menara AmBank, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Rohime Shafie.

AmBank mempunyai program pembiayaan untuk pelanggan Proton dengan pinjaman sewa beli sehingga 90 peratus.

“Proton menjadi rakan kongsi kami yang baik dan kami gembira untuk memberi sokongan kepada mereka sebagai rakan kongsi perniagaan kami,” katanya sambil menambah segmen sewa beli menyumbang sekitar 25 hingga 30 peratus kepada jumlah aset bank.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 7:10 AM