SULAIMAN Mohd Tahir. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SULAIMAN Mohd Tahir. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Kumpulan AmBank akan terus memperkukuh operasi bagi tahun kewangan 2020 dengan meningkatkan penembusan dalam segmen dan produk sasaran yang bertepatan dengan kehendak dan permintaan pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, antara segmen tumpuan itu termasuklah transaksi perbankan, pertukaran asing, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengurusan kekayaan.

Beliau berkata, perkara berkenaan adalah tumpuan bank itu bagi mempertingkat pertumbuhan perolehan untuk Kumpulan AmBank.

“Kami juga perlu mempercepatkan pertumbuhan segmen Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) dan mempelbagaikan sumber dana sebagai usaha untuk menguruskan kos dana bank dengan lebih baik.

“Kami juga sudah memulakan pembangunan pelan digital dan meneroka perkongsian digital pintar untuk mewujudkan titik pertemuan kepada akses untuk pelanggan baharu,” katanya pada sidang media untuk tahun kewangan 2019 di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan AmBank, Jamie Ling.

Sulaiman berkata, pihaknya menyedari bahawa persaingan akan terus kekal sengit dengan tekanan serantau dan antarabangsa juga dijangka memberi kesan kepada pasaran tempatan.

“Bagaimanapun, kami terus kekal yakin bahawa strategi pertumbuhan kumpulan akan membantu meningkatkan keuntungan dan mengukuhkan kedudukan kewangan bank yang kini berada pada landasan tepat.

“Selain itu, usaha kami untuk mengurangkan kos juga akan dilaksanakan dalam tahun kewangan yang baru dan berharap ia akan terus memacu kecemerlangan Kumpulan AmBank,” katanya.

Sementara itu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019, Kumpulan AmBank mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi untung bersihnya yang meningkat sebanyak 33 peratus kepada RM1.5 bilion pada tahun yang dikaji.

Malah, Kumpulan AmBank turut merekodkan pendapatan faedah bersih yang berkembang sebanyak 3.9 peratus menjadi kepada RM2.58 bilion dan jumlah pendapatan pula berjumlah RM3.92 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 8:41 AM