HERRERA (kiri) bersaing dengan pemain Uruguay Diego Rolan pada perlawanan, semalam.
HERRERA (kiri) bersaing dengan pemain Uruguay Diego Rolan pada perlawanan, semalam.
AFP

Glendale, AS: Mexico menewaskan Uruguay 3-1 dalam pertembungan hangat Copa America Centenario semalam yang menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain selepas kesilapan lagu kebangsaan mencetuskan kekecohan sebelum perlawanan.

Perlawanan mendebarkan di Stadium University Phoenix di Arizona menyaksikan Mexico meraih tiga mata dalam Kumpulan C menerusi jaringan Alvaro Pereira ke gawang sendiri dan jaringan lewat permainan daripada Rafa Marquez dan Hector Herrera.

Gol tunggal Uruguay hadir menerusi tandukan kapten Diego Godin, bintang Atletico Madrid yang menyamakan kedudukan 16 minit sebelum tamat yang hampir menyaksikan dua pasukan Amerika Selatan itu berkongsi mata.

Namun jaringan Marquez, 37, pada minit ke-85 membantu Mexico mendahului 2-1 sebelum Herrera menambah gol ketiga pada masa kecederaan untuk melengkapkan kemenangan bermakna ‘El Tri’.

Pemain Uruguay berang dengan pegawai perlawanan selepas wisel penamat pada aksi tengah hari yang langsung tidak memihak kepada ‘La Celeste’.

Sebelum sepak mula, pemain Uruguay kelihatan tersinggung ketika berbaris mahu menyanyikan lagu kebangsaan mereka, sebaliknya lagu kebangsaan Chile diputarkan.

Penganjur Copa America Centenario dengan pantas meminta maaf atas kesilapan itu.

Jurulatih veteran Uruguay Oscar Tabarez enggan menyerah kalah atas kekalahan itu, malah menghargai keberanian skuadnya untuk bangkit dalam keadaan tertekan.

“Saya bangga dengan keberanian pasukan dan bagaimana kami bangkit,” kata Tabarez yang kini berdepan perlawanan kedua mencabar menentang Venezuela di Philadelphia Jumaat ini.

Venezuela mencerahkan peluang mereka untuk terus mara dengan kemenangan 1-0 ke atas Jamaica pada aksi terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 10:31 AM