SYAHMI ada kelebihan dari segi karakter.
SYAHMI ada kelebihan dari segi karakter.
Nor Akmar Samudin

Pendekar muda, Ahmad Syahmi Shaari, 25, muncul juara musim pertama Akademi Silat Pendekar Muda 2016 dengan membawa pulang wang kemenangan RM100,000.

Siaran akhir program terbitan TV AlHijrah itu disiarkan secara langsung dari Stadium Panasonic, Shah Alam, baru-baru ini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu terkejut dengan kemenangan berkenaan kerana bagi Syahmi saingan sengitnya pada pentas akhir akademi silat itu ialah Muhamad Adib Jamaludin, 22.

Menurut Syahmi, daripada pengalaman dan ketangkasan bersilat, dia, Adib dan dua lagi peserta akhir, Mohd Syamil Jamal, 23 dan Mohammad Syahmi Azri Zaini, 22, adalah setara.

“Bagaimanapun, pergerakan akrobatik Adib sangat hebat. Selain itu dia yang menyertai kumpulan Seni Silat Gayong Malaysia juga mempunyai ramai penyokong kerana kumpulan silat itu besar dan ramai ahli. Melihatkan sokongan padu yang diberikan kepada Adib setiap minggu sudah cukup mendebarkan saya.

“Sementara saya pula mempunyai sedikit kelebihan dari segi ketangkasan, gerak langkah yang lebih kemas dan boleh menggabung silat moden serta tradisional. Oleh kerana kehebatan seni silat kami yang agak seimbang lantas saya bertanya kepada juri mengenai kemenangan saya itu.

“Menjelaskan perkara itu, mereka kata kami berempat sememangnya berpotensi untuk bergelar juara.Oleh itu juri terpaksa mencari faktor lain dari segi karakter pula dan nampaknya rezeki serta tuah memihak kepada saya. Tetapi ketika pengacara (Jimmy Shanley) mengumumkan nama juara, saya sangat terkejut kerana sejak awal saya sangka Adib yang akan menang,” katanya.

Syahmi yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur menyertai Seni Silat Kalimah Serumpun Sejati bercadang menggunakan wang kemenangan itu untuk mengadakan bengkel silat bagi memperkenalkan ilmu mempertahankan diri tradisional itu kepada masyarakat.

“Dengan kemenangan itu, pengorbanan saya belajar silat sejak berusia lima tahun berbaloi. Pada mulanya dipaksa ayah, (Shaari Basri, 58) kerana dia guru silat dan lama-kelamaan saya jadi minat.

“Dua lagi adik saya, Hamizan Shaari, 23, adalah ahli sukan pencak silat negara dan adik bongsu, Amin Fadhil Shaari, 22, pula sering mendapat undangan bersilat pada majlis perkahwinan,” katanya.

Menyelongkar isi hati ‘pendekar muda itu’ dia tanpa berselindung beritahu akan berkahwin tahun depan dengan teman wanita yang berasal dari Sandakan, Sabah.

“Kami berkenalan di Facebook dan saya menggunakan sebahagian daripada wang kemenangan itu untuk perkahwinan,” katanya.

Syahmi yang pernah bekerja sebagai pereka hiasan dalaman kini berhenti untuk memulakan perniagaan sendiri dengan rakan.

Akademi Silat Pendekar Muda itu mendapat kerjasama Pertubuhan Daie Muda (PDM) dan Kementerian Belia dan Sukan. Pencarian bakat pendekar muda yang dilaksanakan di empat zon utama itu akhirnya memilih 10 peserta akhir bagi meneruskan perjuangan selama 13 minggu dalam akademi.

Menurut Ketua Pegawai Ekskutif TV AlHijrah, Izelan Basar, akademi silat itu diterbitkan kerana ia adalah warisan budaya dan peradaban Melayu yang mesti dipertahankan. Maka, objektif utama penerbitan program realiti itu ialah mencari pendekar muda yang berupaya menyeimbangkan seni silat dan syariat.

“Penerbitan program itu juga bertujuan menghapus tanggapan buruk masyarakat yang sering mengaitkan seni mempertahankan diri dengan keganasan. Selain itu, program itu turut berpeluang memupuk dan melahirkan generasi pendakwah sihat yang menjadikan seni persilatan sebagai medium mendisiplinkan diri,” katanya.

“Pastinya penonton dan semua pihak yang terbabit akan berasa teruja tatkala melihat barisan pendekar muda yang celik agama berjuang memberi nafas baru dalam menaikkan keagungan seni silat yang melambangkan budi, budaya serta peradaban bangsa Melayu yang unik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 9:31 AM