FINALIS Akademi Silat Pendekar Muda (dari kiri) Muhamad Adib, Ahmad Syahmi, Mohammad Syahmi dan Mohd Syamil bersedia untuk beraksi malam ini.
FINALIS Akademi Silat Pendekar Muda (dari kiri) Muhamad Adib, Ahmad Syahmi, Mohammad Syahmi dan Mohd Syamil bersedia untuk beraksi malam ini.
ANTARA aksi peserta dalam episod sebelum ini.
ANTARA aksi peserta dalam episod sebelum ini.
Nor Akmar Samudin


Program realiti Akademi Silat Pendekar Muda 2016 terbitan TV AlHijrah sudah pun sampai ke penghujungnya malam ini dan ditayangkan secara langsung dari Stadium Panasonic, Shah Alam jam 9 malam.

Empat pendekar bakal beraksi malam ini dan juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Finalis yang terdiri daripada Mohd Syamil Jamal, 23 (Seni Silat Gayong Malaysia); Ahmad Syahmi Shaari, 24 (Seni Silat Kalimah Serumpun Sejati), Muhamad Adib Jamaludin (Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia) dan Mohammad Syahmi Azri Zaini, 22 (Pertubuhan Silat Sendeng Panambahan) masing-masing hebat dengan ilmu persilatan yang tinggi.

Lantaran itu tentunya saingan sangat sengit dan tanpa dapat menafikan kehendak hati masing-masing, mereka berempat mahu bergelar juara.

Mohd Syamil ketika ditemui berkata, dia mempelajari silat sejak berusia 12 tahun lagi.

Minat dan kesungguhannya untuk mendalami ilmu mempertahankan diri itu diwarisi daripada ibu bapanya yang mahir bersilat.

“Orang tua yang menggalakkan saya belajar silat kerana ia semakin dilupakan masyarakat. Ada juga beranggapan belajar silat tiada masa depan dan tidak boleh pergi jauh.

“Oleh itu saya mahu membuktikan pandangan itu salah dan apabila mendengar TV AlHijrah mahu menerbitkan program ini, saya terus menyahut cabaran itu dan bersyukur apabila berjaya ke final. Jika menang, saya akan menggunakan wang itu untuk menubuhkan sekolah silat di kampung halaman saya di Kedah,” katanya.

Bagi Mohammad Syahmi pula, dia sudah mula beraksi di gelanggang silat sejak usia empat tahun lagi.

Namun, ia tidak menghairankan kerana bapanya, Zaini Chorong, 55, adalah guru silat dan Mohammad Syahmi turut berguru dengannya.

“Kami enam beradik (empat lelaki dan dua perempuan) semuanya boleh bersilat. Saya sekarang adalah jurulatih silat di tempat asal saya di Batu Pahat, Johor,” katanya.

Menurutnya, dia gagal ketika menghadiri uji bakat pertama Akademi Silat yang diadakan di Johor kerana memiliki berat badan 80 kilogram (kg).

“Saya tetap nekad untuk menyertai Akademi Silat dan dengan mengamal diet yang betul, dalam masa dua minggu saya berjaya menurunkan berat saya sebanyak 11kg.

“Saya ke Kuala Lumpur untuk menyertai uji bakat kali kedua dan berjaya. Sejak itu saya terus kekalkan berat badan dengan tidak mengambil nasi dalam hidangan harian serta banyakkan makan sayur dan ikan,” katanya.

Sama seperti Mohammad Syahmi, Ahmad Syahmi juga mempelajari ilmu persilatan seawal usia lima tahun daripada bapanya.

Katanya, sejak kecil dia sudah melihat bapanya bersilat dan akhirnya minat itu datang dengan sendiri.

“Orang sekarang mana suka belajar silat yang dianggap hanya membuang masa. Pada saya silat adalah seni mempertahankan diri yang amat istimewa dan saya mesti terus memperjuangkannya.

“Saya jatuh cinta pada seni persembahan yang ada dalam silat dan sering bersilat pada majlis perkahwinan. Dengan adanya program Akademi Silat, saya berharap ia dapat membuka mata dan minda anak muda untuk mempelajarinya,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Adib berkata, ketiga-tiga rakannya itu adalah pesaingnya untuk merebut gelaran juara.

Menurutnya, mereka bukan calang-calang pesilat, malah sudah terlalu mahir dalam pelbagai corak persilatan.

Namun, dia tidak gentar untuk menghadapi lawannya itu dan segala persiapan sudah siap sama ada dari segi minda mahupun fizikal.

“Saya bercita-cita membuka sekolah silat. Silat bukan hanya untuk mempertahankan diri, tetapi jwa dan raga mesti dekat dengan Allah SWT. Ia bukan untuk kekuatan zahir semata-mata, tetapi kita juga mengisi jiwa kita dengan amalan dan niat yang baik.

“Oleh itu sepanjang kami ‘dikurung’ dalam akademi, TV AlHijrah turut menyediakan guru agama agar kami dapat mengukuhkan iman. Jangan sewenang-wenangnya menggunakan ilmu yang ada ke jalan salah. Saya berazam menurunkan ilmu persilatan ini kepada orang lain,” katanya.

Antara tenaga pengajar yang terbabit dalam membentuk jati diri dan mengasah kemahiran bela diri semua pendekar muda itu ialah pelakon dan bekas atlet silat kebangsaan, Ruzaidi Abd Rahman.

Pengacara bagi program ini ialah Jimmy Shanley manakala juri tetap ialah pelakon dan pelawak popular Ebby Yus yang juga memiliki ilmu persilatan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 10:14 AM