SILAT Bangau Putih diminati dalam kalangan remaja.
SILAT Bangau Putih diminati dalam kalangan remaja.
Safuri Kamarudin

[email protected].

Seni silat dan masyarakat Melayu berpisah tiada. Ini kerana ia sebahagian daripada budaya masyarakat Melayu yang menjadi kebanggaan hingga kini.

Ia adalah seni mempertahankan diri bangsa Melayu dan Nusantara yang diamalkan sejak berkurun lalu.

Silat diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi di Brunei, Filipina, Indonesia, Thailand dan negara ini.

Pengamal yang mempunyai tahap silat yang tinggi digelar pendekar.

Kita juga maklum, antara senjata Melayu lama yang sering digunakan pesilat termasuk keris, badik, kerambit, parang, pedang, lading, tongkat, tembong, tombak dan sabit.

Sementara bagi pesilat yang tidak menggunakan senjata, pengajaran tertumpu kepada pertempuran tangan kosong (tanpa senjata).

Difahamkan terdapat kira-kira 360 jenis silat diamalkan dan mempunyai pengikut terutama di negara ini termasuk Silat Bangau Putih.

Silat Bangau Putih bukan saja mengajar ilmu mempertahankan diri, malah turut mementingkan disiplin dan tanggungjawab kepada agama serta negara.

Diasaskan Che Nat Mihad dari daerah Sik, Kedah pada 1983, seni ini mementingkan soal ketangkasan supaya dapat menangkis serangan musuh.

AKSI pesilat Bangau Putih menjadi tarikan kepada pesilat remaja.
AKSI pesilat Bangau Putih menjadi tarikan kepada pesilat remaja.

Selain mempertahankan diri, ilmu persilatan itu bukan saja dapat meningkatkan daya ketahanan diri malah turut mendidik pengamalnya menghormati orang lebih tua.

Pada masa sama Silat Bangau Putih sangat popular di Baling apabila jumlah ahli yang menyertainya kini mencecah lebih 1,000 orang.

Tiga gelanggang silat dibuka di seluruh daerah itu dan menjadi fenomena terbaru dalam kalangan anak muda di sekitarnya.

Seni Silat Bangau Putih semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk setempat berikutan ketangkasan dan gaya persilatannya yang menarik serta unik.

Lebih membanggakan, Silat Bangau Putih turut dilatih seorang guru wanita iaitu Nor Anita Ramli, 41, yang mencetuskan fenomena tersendiri di daerah berkenaan.

“Ilmu persilatan dipelajari sejak usia kanak kanak. Ia bermula ketika membuat persembahan bela diri di satu majlis kahwin, ada remaja berminat untuk berguru dengan saya,” katanya.

PESILAT Bangau Putih menjalani aktiviti mendaki gunung untuk membina stamina.
PESILAT Bangau Putih menjalani aktiviti mendaki gunung untuk membina stamina.

Gelanggang seni silat itu aktif di Kampung Sera Bawah sejak 2007 dan dua lagi turut dibuka di Kampung Parit Panjang dan Kampung Batu 42.

Setiap malam kecuali Jumaat, 30 pesilat muda hadir untuk mempelajari silat di kampung itu dan peserta paling muda berusia tujuh tahun.

Silat ini semakin meluas kerana seninya dikatakan dicipta mengikut gerakan burung bangau putih. Malah ia turut menarik wanita untuk mempelajari seni silat ini.

“Melalui ilmu persilatan ini, kelembutan wanita masih diterapkan walaupun berkecimpung dalam dunia persilatan.

“Silat ini mengajar wanita mempertahankan diri dan turut dibekalkan semangat supaya tidak gentar apabila berhadapan situasi tidak diduga termasuk mempertahankan diri daripada penjenayah,” kata Nor Anita.

ANTARA remaja yang aktif dalam Silat Bangau Putih daerah Baling.
ANTARA remaja yang aktif dalam Silat Bangau Putih daerah Baling.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 9:46 AM