DUA pekerja membuat lakonan semula kejadian samun di kedai runcit 24 jam. FOTO Rosliza Mohamed
DUA pekerja membuat lakonan semula kejadian samun di kedai runcit 24 jam. FOTO Rosliza Mohamed
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Kedai runcit 24 jam kerugian RM7,000 selepas disamun dua lelaki di Wakaf Mek Zainab di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2.15 pagi itu, dua pembantu kedai yang sedang bekerja didatangi seorang lelaki yang menyamar sebagai pelanggan untuk membeli barang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, lelaki berusia 30-an itu berlegar-legar di dalam kedai dan mengambil beberapa barang sebelum diletakkan di kaunter bayaran.

"Selepas meletakkan barang, dia memanggil rakannya yang menunggu di luar supaya masuk ke dalam kedai. Rakannya mengeluarkan parang yang disembunyikan di dalam payung.

"Dua lelaki itu kemudiannya mengugut pembantu kedai supaya menyerahkan wang tunai di dalam kaunter sebanyak RM1,500, pelbagai jenis rokok, kad tambah nilai, komputer riba dan telefon bimbit serta beg duit mangsa yang mengandungi duit RM800," katanya di sini, hari ini.

Katanya, selepas mendapat kesemuanya, dua lelaki itu melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 6:10 PM