Valparaiso, Chile: Tonggak tengah Chile, Gary Medel semakin pulih daripada kecederaan mulutnya selepas dia disiku pemain lawan ketika menentang Peru yang menyaksikan Chile menang 3-0 dalam aksi persahabatan, kelmarin.

Pemain Peru, Rinaldo Cruzado diperintah keluar padang pada minit ke-33 susulan insiden ke atas Medel itu dan khidmat pemain Chile itu terpaksa diketepikan.

"Sebaik saja perlawanan tamat, dia (Medel) dihantar terus ke hospital bagi mendapatkan rawatan," kata doktor pasukan Giovanni Carcuro.

"Medel mengalami kecederaan teruk pada giginya dan sedikit luka pada lidah yang memerlukan jahitan," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh badan ANFP bola sepak Chile.

Medel penyumbang kepada jaringan kedua Chile sebelum dia dikasari pemain pelawat dengan penyerang Eduardo Vargas menjaringkan dua gol lagi.

Peru bermula agak baik pada 20 minit awal permainan dengan penyerangnya Paolo Guerrero mensia-siakan peluang terbaik menerusi sepakan penalti untuk meletakkan pelawat mendahului, namun Vargas lebih tenang menyempurnakan peluang bagi meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-27.

Dengan aksi memukau Alexis Sanchez sepanjang aksi itu, Chile berjaya menambah dua lagi gol pada minit ke-34 dan 53 untuk meraih kemenangan bergaya di halaman sendiri.

"Kami menguasai penuh perlawanan dan banyak peluang terhidang, kami perlu terus meningkatkan aksi selepas ini bagi mencipta lebih banyak keputusan positif dalam aksi seterusnya," kata jurulatih Chile, Jorge Sampaoli.
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:04 AM