AP

Santiago: Penyerang Eduaro Vargas menyumbat dua gol membantu Chile menang 2-1 ke atas Peru yang beraksi 10 pemain pada separuh akhir Copa America semalam, mencerahkan harapan tuan rumah menjuarai kejohanan negara Amerika Selatan itu buat julung kali.

Vargas menjaringkan gol kemenangan menerusi rembatan kencang jarak jauh yang menggegar penjuru kanan tiang gol pada minit ke-64, sekali gus mengemudi tuan rumah ke final Copa America pertama dalam tempoh 28 tahun.

“Saya banyak berlatih merembat dari luar kotak penalti, saya berasa yakin,” kata Vargas. “Saya bangga ia masuk.”

Chile menjadi pilihan untuk mara namun bergelut sepanjang perlawanan menentang pasukan jiran mereka.

Gol kemenangan hadir hanya tiga minit selepas Peru menyamakan kedudukan menerusi gol sendiri pertahanan Gary Medel.

Vargas membuka tirai jaringan pada minit ke-42 dan Peru beraksi 10 pemain seawal minit ke-20 apabila pertahanan Carlos Zambrano dibuang padang kerana menyepak belakang pemain tengah Charles Aranguiz ketika berebut bola.

Peru cuba memenangi Copa America ketiga dan yang pertama sejak 1975. Pasukan itu turut tewas pada separuh akhir 2011 di tangan juara sebenar Uruguay dan menduduki tangga ketiga.

Peru muncul antara pasukan mengejutkan pada kejohanan itu selepas melangkah daripada kumpulan yang termasuk Brazil dan Colombia.

“Kami berjuang hingga ke wisel penamat,” kata penyerang Peru, Paolo Guerrero. “Kami bertarung hingga ke minit terakhir dan jika kami kekal 11 pemain menentang 11, mungkin ceritanya berbeza.”

Kali terakhir Chile layak ke final Copa America adalah pada 1987 apabila mereka tumpas kepada Uruguay.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 7:50 AM