JETTA sebuah sedan bergaya.
JETTA sebuah sedan bergaya.
TEMPAT duduk pemandu dengan lapisan kulit Viena.
TEMPAT duduk pemandu dengan lapisan kulit Viena.
RODA stereng sporty.
RODA stereng sporty.
ENJIN 1.4L TSI bertenaga.
ENJIN 1.4L TSI bertenaga.
Lizam Ridzuan


Sejak diperkenalkan pada 2011 di Malaysia, Volkswagen Jetta menjadi model popular Volkswagen kerana menawarkan sedan segmen C bersaiz sederhana yang mempunyai gaya dan prestasi.

Setelah lebih lima tahun, Jetta baharu dilancarkan untuk pasaran tempatan dengan tiga varian iaitu Trendline, Comfortline dan High­line yang dipasang secara tempatan (CKD).

Baru-baru ini media berpeluang memandu uji model ini dengan perjalanan ke selatan tanah air bagi menguji keupayaan enjin dan keselesaan pemanduan melalui jalan raya dan lebuh raya.

Dilengkapi enjin turbo tunggal 1.4L TSI, ia sebuah enjin yang bertenaga dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan mampu menjana kuasa 150PS dan tork 250Nm memberi keseimbangan tenaga sama ada untuk memecut atau pada kelajuan rendah.

Perjalanan dari Petaling Jaya menempuh kesesakan jalan raya dilepasi dengan baik serta pemanduan di lebuh raya pada pelbagai kelajuan memberi penggunaan bahan api yang ideal sekitar 5.0 liter pada setiap 100 kilometer.

Justeru itu, Jetta turut mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan fungsi mula/henti, sistem brek janaan semula dan fungsi meluncur membuatkan bahan api mampu dijimatkan dengan kos penyenggaraan lebih rendah.

Ketika melalui jalan raya biasa terutama melintasi kawasan desa dengan pelbagai permukaan ketinggian dan selekoh, ia begitu responsif terutama ketika hendak memotong kenderaan lain.

Ketika di selekoh sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) memberi pemanduan lebih baik tanpa hilang keseimbangan dan kenderaan tetap pada laluan serta Sistem Kunci Anti-Brek (ABS) juga berfungsi dengan baik ketika hendak membrek secara drastik.

Ruang dalaman Jetta bukan sahaja selesa malah mempunyai nilai estetik dan penuh fungsi seperti kemasukan tanpa kunci KESSY, butang penghidup enjin, stereng pelbagai fungsi balutan kulit termasuk pedal penginjak dan kawalan jelajah.

Kerusi pemandu dibaluti kulit Vienna, perehat tangan boleh laras, corong penyaman udara belakang dan hadapan dengan ‘dual-Climatronic’, tempat duduk pemandu elektrik serta sistem hiburan dengan pelbagai opsyen ketersambungan seperti pemain CD, USB, iPod dan Bluetooth.

Jetta baharu ditawarkan dalam tiga varian dan harga jualan asas untuk Trend­line bermula daripada RM108,990, Comfortline (RM117,990) serta High­line (RM128,990) dengan empat warna iaitu putih, kelabu, perak dan hitam. Waranti pula selama lima tahun untuk pembelian bermula dari 1 September, 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 5:01 AM